Kecacatan Sambungan Bluetooth Pada Produk Apple Dan Microsoft Menyebabkan Ia Terdedah Pada Eksploitasi

Peranti Android tidak berdepan dengan masalah ini.


2 Orang penyelidik dari Universiti Boston mendedahkan bahawa kecacatan pada sambungan Bluetooth yang ada pada peranti-peranti Apple termasuklah iPhone, iPad, MacBook, iMac dan Apple Watch boleh terdedah kepada eksploitasi yang menyebabkan penggunanya diintip oleh pihak lain.

Isu ini juga turut ditemui berlaku pada sistem operasi Windows dan perkakasan Microsoft yang lain.

Penemuan kecacatan tersebut telah dibentangkan oleh penyelidik di Simposium Ke 19 Mempertingkatkan Teknologi Privasi yang berlangsung di Stockholm, Sweden.

Penyelidik menyatakan, peranti Bluetooth yang menggunakan alamat MAC telah menyebabkan secara spesifik peranti tertentu boleh diintip oleh pihak lain.



Berdasarkan kepada kertas kajian yang bertajuk "Tracking Anonymized Bluetooth Devices" menyatakan, algoritma di dalam peranti Bluetooth yang menggunakan alamat MAC terdedah kerana ia adalah terbuka kepada umum, tidak dienkrip. Menyebabkan pihak lain boleh menjejaki peranti-peranti tersebut.

Berbeza dengan sistem operasi Android, penyelidik mendapati sistem tersebut imun kepada masalah ini kerana ia menggunakan metod yang berbeza. Sistem Android tidak mendedahkan sambungan Bluetooth nya secara terbuka. Sebaliknya akan mengimbasnya terlebih dahulu.

Sebelum ini Apple telah berdepan dengan isu kelemahan ciri keselamatan FaceTime yang menyebabkan pemanggil boleh mendengan perbualan seseorang sebelum individu menjawab panggilan FaceTime .

Sumber: ZDNet