Kata Laluan Pengguna Google G Suite Didapati Disimpan Dalam Format Yang Boleh Dibaca

Google menyatakan bahawa ia tidak disengajakan.


Google LLC menerusi laman blog Google Cloud hari ini mendedahkan bahawa mereka secara tidak sengaja telah menyimpan kata laluan pengguna produk G Suite dalam format yang boleh dibaca.

Menurut Google masalah ini berlaku ketika mereka cuba mengaplikasikan semula ciri yang membolehkan pengguna G Suite mendapatkan semula kata laluan yang mereka terlupakan.

Walaubagaimanapun, mereka menyatakan secara tidak sengaja telah tersilap melaksanakan proses tersebut pada tahun 2005 lalu sehingga menyebabkan kata laluan pengguna G Suite terdedah.

Google hanya menyedari isu ini dalam bulan Januari 2019 lalu dan pihak Google menyatakan bahawa isu tersebut telah diperbetulkan. Mereka juga mengatakan bahawa tiada bukti yang menunujukkan berlakunya sebarang pencerobohan atau salah guna kata laluan yang terlibat sepanjang tempoh tersebut.

Google juga menjelaskan, hanya pengguna akaun perniagaan G Suite sahaja yang terkesan dengan isu ini. Pengguna G Suite versi percuma tidak terjejas dengan isu ini.