Kamera Terangkat Pertama Dari Huawei Pada Model P Smart Z

Setakat suku kedua tahun ini, kita telah melihat sejumlah pengumuman telefon pintar dibuat dan sebahagian daripadanya disertakan kamera hadapan terangkat.

Mengikut jejak langkah pengeluar lain dalam penggunaan kamera swafoto terangkat, Huawei Italy telah mendedahkan model P Smart Z.



Huawei P Smart Z adalah peranti pertama dari Huawei yang didatangkan dengan ciri kamera terangkat dan ia dipasang dengan skrin LCD 6.59 inci, memberikan paparan bebas takuk serta berbezel nipis. Kamera hadapan terangkat menggunapakai sensor 16MP dimana ujian mendapati, ia mampu bertahan sehingga 100,000 kali keluar masuk dan berupaya menampung beban mencecah 12kg.



Diperkenalkan sebagai peranti kelas pertengahan, cip pemprosesan yang digunakan adalah Kirin 710, digandingkan bersama RAM 4GB dengan storan 64GB. Bagi ruang memori tambahan, sokongan kad MikroSD disediakan sehingga 512GB.

Bagi rakaman foto talaan belakang, Huawei membekalkan dwi kamera 16MP+2MP dan panelnya kelihatan seakan-akan rekaan peranti Pixel.



Huawei P Smart Z akan menjalankan sistem operasi EMUI 9.0 berasaskan Android 9 Pie dan dijana dengan bateri 4000mAh melalui port pengecasan USB-C.

Peranti ini akan dipasarkan di Eropah terlebih dahulu dan adakah ia akan mendarat ke pasaran tempatan kita perlu nantikan pengumuman dari Huawei Malaysia.

Sumber: Huawei Italy