Kamera Telefon Pintar Selepas Ini Boleh Capai 200MP

Snapdragon 865 menyokong kamera 200MP

Topik hangat dalam dunia teknologi hari pastinya berkisar tentang pengumuman Qualcomm mengenai cip terbaru, Snapdragon 865.Bukan sahaja lebih baik berbanding keluaran terdahulu, Snapdragon 855, ia turut sama digambarkan mampu mengatasi cip dari pesaing yang lain.

Antara ciri yang menjadi tumpuan pada Snapdragon 865 adalah sokongan kamera sehingga 200MP. Ini sedikit sebanyak membayangkan kedatangan telefon pintar dengan keupayaan kamera tersebut pada tahun hadapan. Pengeluar telefon pintar sedia bersaing sesama mereka untuk memberikan penawaran lebih baik ke dalam pasaran. Melalui kebolehan yang tersedia pada Snapdragon 865, ia pasti dimanfaatkan sebaiknya oleh pengeluar-pengeluar ini.

Salah satu pengeluar yang sudah mengesahkan hasrat mereka untuk menggunakan cip Snapdragon 865 adalah Xiaomi. Ia bakal menguasakan peranti akan datang iaitu Mi 10 dan melalui ucapan daripada Presiden Xiaomi, Lin Bin, beliau memuji kebolehan teknologi yang disediakan pada cip tersebut.

Bin menyatakan teknologi yang ada pada Snapdragon mampu menawarkan hasil kamera yang sangat tinggi perincian dan resolusi. Beliau juga menambah, dengan adanya sokongan 5G, perkongsian imej bersaiz besar ini tidak mendatangkan masalah buat pengguna pada masa hadapan.

Ketika ini, Xiaomi merupakan pengeluar pertama yang mempersenjatakan kamera 108MP pada telefon pintar mereka dan ia sudahpun dilancarkan secara rasmi untuk pasaran tempatan semalam.

Dalam pada itu, Xiaomi sebelum ini juga sedia mendedahkan rancangan mereka untuk memperkenalkan 10 model telefon pintar 5G pada tahun 2020.

Sumber: Cnet