JOHOR BAHRU, 9 Okt (Bernama) -- Pelaksanaan kad ketibaan elektronik oleh Pihak Berkuasa Imigresen Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menggantikan kad putih sebelum ini untuk memasuki ke negara itu secara purata memberi kemudahan kepada pengunjung asing.
Tinjauan BERNAMA di Johor Bahru Sentral di sini hari ini mendapati sistem itu, yang kini di peringkat percubaan selama tiga bulan mulai 4 Okt, mendapat maklum balas positif dan ada yang bersetuju ia akan menjimatkan lebih banyak masa serta mampu mengurangkan kesesakan.
Raja Sheril Ameera Raja Nahar Sihim, 25, yang sering ke Singapura untuk ke Lapangan Terbang Changi berkata sistem baharu ini akan menjimatkan lebih banyak masa di bahagian imigresen.
"Pertama, jimat penggunaan kertas. Keduanya, jimat masa. Bila ada sistem begini seperti sistem visa, kita tidak perlu buang masa isi kad putih. Bila semua dah dibuat secara dalam talian lebih senang. Sepatutnya sistem ini dilaksanakan sejak dulu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menerusi sistem itu, mereka yang ingin ke Singapura perlu mengisi maklumat peribadi dan perjalanan dalam laman web ICA kemudian hanya perlu menyerahkan pasport di kaunter imigresen dan menerima kad elektronik menggantikan kad putih.
Maslinda Jaafar pula berkata, terdapat kekurangan pada sistem itu dan pihak berkuasa perlu mengambil kira pengunjung yang antara mereka buta IT (teknologi maklumat).
"Kalau seseorang itu memiliki telefon pintar atau mahir menggunakan komputer tiada masalah tapi bagaimana pula yang tidak tahu IT seperti warga emas. Selain itu, mungkin akan wujud masalah lain seperti permohonan tidak lepas, pasti akan ambil masa untuk pelepasan,” kata wanita berusia 36 tahun itu yang bekerja di sebuah syarikat swasta.
Namun begitu, sistem ini tetap mempunyai kebaikan terutama dapat menjimatkan masa dan tidak perlu risau sekiranya kehilangan kad putih, katanya.
Sementara itu, K. Jegan, 22, pekerja kilang di Singapura yang tidak menyedari mengenai pelaksanaan sistem itu, berkata, “Saya tidak pernah dengar pula, tetapi kalau betul saya pasti ia memudahkan orang nak ke Singapura, mereka boleh isi terlebih dahulu di rumah,”
ICA sebelum ini mengeluarkan kenyataan akan melancarkan kad ketibaan elektronik yang bertujuan menggantikan kad ketibaan yang perlu diisi pengunjung asing ke Singapura mulai Januari tahun hadapan.
-- BERNAMA
Berkaitan
- Singapura Bakal Halang Penjawat Awam Dari Menggunakan Internet
- Singapura Guna Data Aplikasi Pengesanan Covid-19 Untuk Siasatan Jenayah
- Singapura Bangunkan Aplikasi Telefon Pintar Untuk Elakkan Penyebaran Covid-19
- Singapura Mulakan Operasi Teksi Tanpa Pemandu Pertama Di Dunia
- Pengendali Telco Singapura Pilih Rangkaian 5G Dari Nokia Dan Ericsson
- BeLive Dilancar Di Singapura, Bakal Beri Saingan Kepada Bigo Live
- Nokia 3310 Versi Baru Mungkin Tidak Akan Dipasarkan Di Singapura
- Xiaomi Mi 9 Dilapor Muncul Pada Laman Pensijilan Singapura
- Bilik Pameran Kereta Seakan-Akan Mesin Layan Diri Ini Berada Di Singapura
- Tiada Lagi Rangkaian 2G Di Singapura