Jualan Menurun, Apple Mahu Kurangkan Harga iPhone Di Beberapa Negara

Apple mencatatkan kadar pendapatan 15% lebih rendah sepanjang tahun lepas berbanding tahun yang sebelumnya.

Berikutan dengan itu, ia mungkin memaksa mereka untuk mengkaji semula harga pasaran bagi model iPhone keluaran mereka.

Dalam satu temuramah bersama Reuters, CEO Apple, Tim Cook turut membayangkan akan menurunkan harga iPhone di beberapa buah negara selepas ini.

Ini kerana negara-negara tersebut dikatakan mengalami peningkatan yang lebih tinggi berbanding negara-negara lain disebabkan faktor pertukaran matawang mereka.

Kapsyen: AppleInsider


Mengambil contoh negara Turki, tukaran matawang Turki Lira yang semakin lemah berbanding US Dollar pada tahun lepas menyebabkan pembeli di sana terpaksa membayar harga yang lebih tinggi untuk mendapatkan sebuah peranti iPhone.

Walaubagaimanapun, negara-negara yang dimaksudkan oleh Tim Cook itu tidak dinyatakan secara spesifik oleh beliau dalam temuramah berkenaan.

Sebelum ini, Apple telah pun mengurangkan harga iPhone XR bagi pasaran Jepun bagi meningkatkan permintaan di negara tersebut dan ternyata ia berhasil walaupun tidak ketara.

Mungkinkah negara kita juga termasuk dalam negara-negara yang dimaksudkan oleh Tim Cook tersebut? Sama-sama kita nantikan.

 

Sumber: Reuters via The Verge