Jualan Huawei P9 Mencecah 9 Juta Unit

Model P9 terbukti menjadi tonggak utama untuk Huawei pada tahun ini. Syarikat telefon pintar yang berpangkalan di China tersebut berjaya menjual telefon flagship mereka seperti pisang goreng panas. Pada September yang lepas, Huawei telah mengesahkan mereka berjaya menjual model P9 sebanyak 6 juta unit. Dan kali ini, Huawei sekali lagi melepasi satu aras yang memberangsangkan.

Sehingga hari ini, Huawei telah menjual sebanyak 9 juta unit semenjak pelancarannya pada bulan April yang lalu. Ini bermakna, mereka berjaya mengedarkan 3 juta unit di dalam masa dua bulan sahaja yang mana ianya sangat mengagumkan kerana P9 sudah berada di pasaran untuk jangka masa yang agak lama. Huawei juga berkata ianya akan berterusan meningkat sehinga bulan hadapan dan dijangka akan mengekalkan prestasi jualan mereka sehinga awal tahun depan.

Huawei menjangkakan penjualan 10 juta unit pada penghujung tahun ini untuk model P9. Walaupun dengan pelancaran Mate 9 baru-baru ini bakal mencuri tumpuan dengan skrin besar, pihak Wiser.my percaya model P9 akan mengekalkan reputasi mereka sebagai flagship paling berjaya dari Huawei.