JPJ Akan Laksana e-Testing, Pegawai Tidak Lagi Duduk Disebelah Ketika Ujian Memandu

Melalui ujian memandu yang sedia ada, sesi tersebut memerlukan seorang pegawai berada didalam kenderaan bersama-sama dengan calon. Perkara itu nampaknya akan berubah tidak lama lagi dimana Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bakal melaksanakan sistem e-Testing.

Menurut laporan Astro Awani, pelaksanaan e-Testing akan dilaksanakan pada bulan Jun depan. Untuk permulaan, tiga institut memandu di Johor telah dipilih sebagai lokasi projek rintis sistem ini. Menerusi e-Testing, prestasi pemanduan calon akan dinilai oleh pegawai JPJ yang berada didalam bilik kawalan. Kesemuanya dilakukan secara elektronik dan hasil ujian dikeluarkan secara berkomputer.

Dengan adanya kaedah ini, ia bukan sahaja memudahkan sesi ujian bahkan berupaya meningkatkan integriti jabatan tersebut. Hal ini kerana, calon tidak lagi bersama dengan pegawai JPJ didalam kenderaan sepertimana kaedah ujian yang digunapakai ketika ini.

Sumber : Awani