Jom Layari Laman Sesawang The Mac Index Bagi Melihat dan Membandingkan Harga Produk-Produk Apple Dilebih 30 Buah Negara

Istimewanya laman The Mac Index ini kerana ia dibangunkan sepenuhnya oleh Anak Malaysia.


Jika anda adalah peminat tegar produk-produk Apple, suka melawati pelbagai negara lain di dunia dan mencari serta membandingkan bagi mendapatkan harga terbaik bagi sesebuah produk Apple yang mungkin lebih murah berbanding di Malaysia, anda patut melayari laman sesawang The Mac Index.

Laman sesawang khusus berkaitan produk-produk Apple ini menyenaraikan hampir kesemua produk-produk popular Apple. Dari komputer Apple Macintosh, iPhone sehinggalah iPod Touch ada disenaraikan di sini.

Kapsyen: Kredit imej: The Mac Index


Untuk membandingkan atau melihat harga produk Apple di negara-negara lain, contohnya iPhone XS, anda hanya perlu pilih model iPhone tersebut dan secara automatik satu tetingkap akan muncul dan anda boleh lihat senarai harga jualan model iPhone tersebut di 37 buah negara.

Malah selain produk-produk utama tersebut, disenaraikan juga produk-produk aksesori Apple seperti HomePod, Magic TrackPad 2, Magic Mouse 2 dan banyak lagi.

Kapsyen: Turut dinyatakan di sini adalah cukai pada harga setiap produk Apple mengikut negara. Kredit imej: The Mac Index

Buah tangan Anak Malaysia


Menjadikan laman sesawang ini lebih istimewa dan membanggakan sebenarnya adalah kerana ia dibangunkan oleh anak Malaysia.

Individu yang bertanggunjawab membangunkan laman sesawang The Mac Index ini adalah saudara Wafiq Rodzuan, seorang pengaturcara muda yang baru berumur 31 tahun.

AriffMac telah menghubungi beliau sendiri bagi mendapatkan lebih banyak maklumat tentang pembangunan dan perancangan beliau untuk laman tersebut.

Menurut Wafiq, The Mac Index sebenarnya telah mula dibangunkan sejak April 2016 lagi.

Cuma versi terbaru yang mula dilancarkan pada Disember 2018 lalu adalah hasil yang dibangunkan dari peringkat awal semula.

Tambah beliau lagi, yang menjadi pencetus idea untuk beliau membangunkan TMI kerana beliau kerap ke luar negara dan suka membandingkan sama ada harga produk-produk Apple di luar negara adakah lebih murah ataupun tidak.
“Saya kerap ke luar negara dan menjelajah sambil bekerja remotely, jadi saya kerap ingin melihat harga produk Apple di negara lain jika berbaloi untuk dibeli berbanding di Malaysia. Pada 2015, saya beli Macbook Pro berharga RM8k di Singapura dan mendapat penjimatan sebanyak RM1k” Wafiq Rodzuan.

Perancangan masa depan untuk The Mac Index


Jika dilihat kepada laman TMI, sebenarnya ia sudah cukup sempurna. Tetapi bagi Wafiq, beliau merasakan masih ada yang boleh ditambah baik.

Menurut beliau, untuk perancangan akan datang, beliau mahu mewujudkan satu ruang cadangan di mana pembeli akan dapat mengetahui kos yang diperlukan untuk membeli sesuatu produk Apple berdasarkan jarak lokasi dan kos tiket penerbangan.

Beliau juga bercadang membangunkan ciri yang dapat memberikan notifikasi pantas jika terdapat sebarang penurunan harga terhadap sesuatu produk Apple.

Apabila ditanya pula tentang perancangan sama ada beliau akan mengalihkan bahasa laman TMI ke pelbagai bahasa lain pula, beliau berkata…
“Belum ada. Walaupun kini terdapat pelawat dari seluruh dunia, mereka faham bagaimana untuk mengggunakan websitet The Mac Index kerana ia menumpukan kepada data, bukan kandungan atau bahasa”.

Jadi, bagi para pengembara dan kipas susah mati produk-produk Apple, anda bolehlah layari laman sesawang The Mac Index bagi melihat dan membandingkan dulu harga produk Apple yang mahu dibeli di negara yang akan dilawati terlebih dulu.

Jadi anda dapatlah merancang membeli-belah produk Apple yang diminati dengan nilai yang lebih baik.

Berkaitan