Jepun Perkenal Sistem Bagi Elakkan Pekerja Tidur Semasa Bekerja

Jepun memang terkenal dengan kemajuan teknologi yang dihasilkan dan digunakan di negara mereka. Walaubagaimanapun, mereka juga muncul sebagai negara yang mempunyai pekerja yang paling kurang waktu rehat di dunia.

Menurut kajian, purata pekerja di negara matahari terbit itu berkerja selama 12 ke 18 jam sehari, walaupun waktu bekerja rasmi di sana hanyalah 8 jam sahaja. Ia menjadikan mereka sebenarnya bekerja dua kali lebih lama dari sepatutnya.



Atas sebab itu, pekerja mereka pasti akan berasa letih dan mengantuk akibat dari kurang rehat untuk mengembalikan tenaga pada tubuh badan. Pastinya mereka akan cuba mencuri sedikit masa untuk tidur di pejabat semasa waktu bekerja.

Bagaimanapun, perkara itu mungkin semakin sukar untuk dilakukan selepas ini. Ia kerana satu sistem untuk mengesan pekerja yang mengantuk sedang dibangunkan dan telah pun diuji.

Syarikat elektronik gergasi NEC dan pengilang penyaman udara Daikin merupakan pihak yang bertanggungjawab membangunkannya. Mereka mendakwa, sistem itu akan mengesan pekerja yang mengantuk seterusnya menurunkan suhu bilik secara automatik.



Komputer akan digunakan untuk mengesan pekerja terbabit dengan memantau kelopak mata mereka. Sekiranya pekerja terbabit dipercayai sedang mengantuk, penghawa dingin akan menurunkan suhu bilik ke satu tahap yang dapat menyegarkan pekerja.

Daikin juga berharap dapat membangunkan satu sistem penghawa dingin yang dapat meniup udara sejuk secara terus kepada seseorang pekerja yang mengantuk di masa hadapan.

Ujian yang dijalankan menunjukkan penurunan suhu adalah amat efektif dalam mengelakkan pekerja daripada tidur semasa bekerja. Ia telah mengatasi cara-cara lain yang turut diuji seperti semburan pewangi dan meningkatkan cahaya skrin komputer.

Sumber