Jepun Mahu Bina Komputer Paling Laju Didunia

Jepun merupakan sebuah negara yang dikenali dengan kemajuan teknologinya. Fokus sains dan teknologi di Jepun adalah elektronik, robotik dan industri automotif. Antara contoh teknologi ciptaan mereka adalah robot yang bekerja di hotel, dan juga kincir angin yang dijana melalui ribut taufan. Kedengaran pelik bila melihat ciptaan negara matahari terbit itu, tetapi tidak mustahil bagi mereka. Terkini mereka mahu membina supercomputer yang terpantas didunia.

Supercomputer ini bakal dicipta dalam usaha untuk melengkapkan pengeluar negara itu dengan platform penyelidikan yang boleh membantu mereka membangun dan menaik taraf teknologi kereta tanpa pemandu, robotik dan juga diagnostik perubatan.

Kementerian Ekonomi, Perdagangan dan Industri Jepun akan membelanjakan bajet berjumlah 19.5 bilion yen yang mana ia adalah sebahagian  polisi kerajaan negara itu untuk menaikkan semula nama Jepun dalam dunia teknologi. Nama Jepun semakin ketinggalan sejak beberapa tahun yang lepas dengan kehadiran kuasa-kuasa besar teknologi seperti Korea Selatan dan juga China.

Supercomputer adalah komputer berkapasiti pengiraan peringkat tinggi berbanding dengan komputer kegunaan umum. Prestasi supercomputer diukur dalam FLOPS (floating-point operation per second) dan bukan diukur dengan MIPS (million instruction per second). Sehingga Jun 2016, supercomputer terpantas didunia  adalah Sunway TaihuLight yang dibina di tanah besar China dengan tanda aras direkodkan 93 FLOPS, melangkaui rekod 59 FLOPS sebelum ini yang dipegang Tianhe-2, juga buatan China.

Menurut laporan dari laman Gizmodo, Jepun mengumumkan tentang projek pembinaan supercomputer terpantas ini bertujuan menjadi peneraju dalam kemajuan teknologi. Jika semuanya mengikut apa yang dirancang, supercomputer ini berupaya membuat kiraan sebanyak 130 quadrilion per saat, lapor Reuters.

Sumber lain turut menyatakan, jurutera yang terlibat dalam projek itu akan membina mesin yang membuat kiraan 130 quadrilion per saat atau dalam bahasa saintifiknya 130 petaflops yang mana ia akan mengalahkan supercomputer dari China, Sunway TaihuLight yang berkelajuan 93 petaflops.

Kali terakhir Jepun mengungguli teknologi supercomputer adalah pada tahun 2011 apabila supercomputer Fujitsu K Computer berada di tangga pertama dunia dengan kelajuan 10.5 petaflops. Projek ini dijangka siap sepenuhnya pada 2018.

[embed]https://www.youtube.com/watch?v=e5IeA9pbgWQ[/embed]

Sumber: Reuters