Japan Aerospace Exploration Agency (JAXA) pada Sabtu mengumumkan prototaip roket boleh digunakan semula berjaya melengkapkan ujian pelepasan dan pendaratan pertamanya, sekali gus menjadi satu lagi langkah ke arah pembangunan teknologi yang mampu mengurangkan kos pelancaran angkasa.
Prototaip itu dilancarkan dari tapak ujian JAXA di Noshiro, wilayah Akita, sebelum mencapai ketinggian kira-kira 10 meter dan berjaya mendarat semula.
Menurut JAXA, keseluruhan penerbangan berlangsung selama kira-kira 40 saat.
“Saya rasa kami telah menghabiskan banyak masa dan usaha untuk projek ini. Kini apabila prototaip berjaya berlepas dan mendarat tanpa sebarang masalah, saya benar-benar berasa lega,” kata Takashi Ito yang mengetuai ujian pelancaran itu kepada pemberita.
Ito berkata agensi itu akan meneliti data yang diperoleh bagi menentukan sepenuhnya tahap kejayaan ujian berkenaan, namun beliau yakin pihaknya telah memperoleh data yang sangat berguna.
Kebanyakan roket direka untuk digunakan sekali sahaja, dengan komponennya sama ada terhempas ke laut, terbakar di atmosfera atau kekal mengorbit sebagai serpihan angkasa. Peringkat pertama roket pula merupakan komponen paling mahal.
Penggunaan roket yang boleh digunakan semula dijangka dapat mengurangkan kos pelancaran secara ketara.
SpaceX telah mengendalikan roket boleh digunakan semula Falcon 9 sejak 2017.
Sementara itu, China pada Jumaat turut mencatat kejayaan pendaratan pertama roket boleh digunakan semula, yang dilihat berpotensi mencabar dominasi Amerika Syarikat dalam bidang tersebut.
Pada Jun tahun lalu, anak syarikat Honda menjadi syarikat Jepun pertama yang berjaya melancarkan dan mendaratkan roket boleh digunakan semula.
Jepun kini giat meningkatkan daya saing industri roket negara itu di peringkat antarabangsa.
Roket utama negara itu, H3, berjaya dilancarkan pada Jun, beberapa bulan selepas misi terdahulu untuk meletakkan satelit ke orbit berakhir dengan kegagalan. – AFP
