Jenis-Jenis Keycap Pada Papan Kekunci Mekanikal

Adakah anda rasa bosan dengan Keycap yang ada pada papan kekunci mekanikal anda ? Salah satu cara untuk membuatkan papan kekunci anda nampak lebih menarik adalah dengan menukar set keycap baru dengan rekaan yang unik dan menarik.



Sebelum anda membeli dan memilih keycap ada beberapa perkara yang anda perlu ambil tahu. Antaranya adalah bahan yang digunakan pada keycap itu, ketebalan, jenis profil dan keseluruhan rekaan yang kena dengan estetik papan kekunci anda.

Untuk panduan ini, kita akan merangkumi jenis binaan dan jenis profil yang ada pada keycap tersebut.

Jenis Bahan Digunakan Pada Keycap


Terdapat dua sahaja jenis bahan yang digunakan untuk membuat keycap, antaranya ialah ABS (Acrylonitrile Butadiene Styrene) dan PBT (Polybutylene Terephthalate) kedua-dua bahan ini adalah plastik yang berbeza dan mempunyai kualiti yang berbeza. Selain itu, kedua-dua plastik ini mempunyai bunyi, rasa dan paras yang berbeza juga. Jadi, aku akan terangkan kelebihan dan kelemahan yang ada pada ABS (Acrylonitrile Butadiene Styrene) dan PBT (Polybutylene Terephthalate) ini.


ABS (Acrylonitrile Butadiene Styrene)


ABS adalah bahan plastik yang paling biasa digunakan pada mana-mana keycap disebabkan kosnya yang murah. Plastik ABS sangat mudah dihasilkan, jadi ia dihasilkan secara besar-besaran. Kelebihan yang ada pada plastik ABS ni adalah dia punya rasa yang licin apabila anda menaip menggunakan keycap ini, Tetapi kelemahan dia pula ia mudah terhakis dan nampak berminyak apabila digunakan pada jangka masa yang lama.

PBT (Polybutylene Terephthalate)


PBS pula adalah bahan plastik yang jarang digunakan, tetapi ia lebih berkualiti dari ABS. Kelebihan pada plastik PBT ni adalah ia mempunyai tekstur yang sedap apabila menaip,tahan lama dan mempunyai kemasan jenis matte. Tetapi satu kelemahan yang besar pada plastik PBT ni adalah kos keycap dia yang agak mahal. Sebagai contoh kalau anda ingin mendapatkan sebuah keycap PBT yang berkualiti tinggi, anda perlu berbelanja lebih lagi, paling kurang pun lebih dari rm100 untuk satu set keycap PBT.

ABS VS PBT Mana Lebih Baik ?


Sebenarnya tiada jawapan yang muktamad diantara kedua-dua bahan ini. Ia mengikut cita rasa pengguna itu sendiri. Ada pengguna yang suka kemasan matte yang ada pada PBT, tetapi ada juga yang suka menaip pada ABS disebabkan ia rasa licin. Jadi kalau anda tidak pasti yang mana kena dengan cita rasa anda. Anda boleh pergi ke mana-mana kedai komputer terkenal atau dipercayai dan cuba sendiri mana lebih sesuai dengan anda.


Jenis Profil Keycap


Kita beralih ke profil keycap pula, disini ia akan menjadi lebih rumit. Profil keycap bermaksud bentuk keseluruhan keycap itu sendiri, setengah keycap mempunyai reka bentuk yang rata, bulat dan macam-macam bentuk lagi. Dengan mengubah bentuk keycap anda ini, ia boleh mengubah pengalaman menaip ataupun bermain game dengan papan kekunci anda.







Pandangan Sisi Jenis Profil Berbeza







Seperti rajah diatas anda boleh lihat sendiri bagaimana setiap profil keycap mempunyai bentuk yang tersendiri. Sebenarnya ada banyak lagi jenis profil yang ada dipasaran, tetapi ini adalah yang selalu kita nampak di pasaran. Jadi mari kita lihat hurain untuk setiap profil keycap ini.


OEM - Profil keycap paling popular digunakan pada mana-mana papan kekunci mekanikal. Ia dihasilkan secara besar-besaran dan mempunyai bentuk bersudut di bahagian atas.

CHERRY - Hampir sama seperti OEM, tetapi ia lebih pendek dan sangat popular dikalang peminat papan kekunci.

DSA - Sangat rendah dengan rekaan sfera dibelah atas.

XDA - Rekaan sama seperti DSA tetapi lebih tinggi.

SA - Profil paling tinggi dengan rekaan melengkuk dibelah atas.


Profil Terbaik Untuk Gaming ?


Sama seperti perbincangan diantara ABS VS PBT ia tiada jawapan muktamad, tetapi kebanyakkan gamer lebih suka kepada profil jenis Cherry disebabkan rekaan dia yang sangat selesa untuk ditekan dan sangat efisien. Tambah lagi semasa anda bermain game FPS ( First person Shooter ) gerak langkah anda sangat penting walaupun lewat milisecond pun ia boleh memberi impak yang besar. Walaupun begitu, profil keycap tidak penting sangat untuk prestasi gaming anda. Kalau anda mahu menambah baik papan kekunci anda untuk gaming, aku sarankan untuk tengok jenis-jenis switch.


Adakah papan kekunci anda serasi dengan keycap yang anda beli ?


Ok, anda dah buat keputusan untuk beli sebuah set keycap untuk papan kekunci anda. Tetapi anda tidak pasti adakah papan kekunci anda itu serasi dengan keycap yang anda ingin beli tu. Perkara pertama anda perlu tahu, adalah susun atur (layout) papan kekunci anda. Setengah mempunyai susun atur yang kecil seperti 61%,68%,71% dan saiz penuh. Peratus itu bermaksud berapa banyak kekunci yang ada pada papan kekunci itu, contohnya kalau papan kekunci itu menggunakan susun atur 71% maka ia ada 71 kekunci. Jadi papan kekunci itu perlukan 71 keycap. Kepada anda semua nak keycap tu pastikan anda tahu susun atur papan kekunci tu terlebih dahulu ye.

Konklusi


Jadi kepada anda semua yang nak berjinak dengan hobi papan kekunci ni pastikan anda mempunyai bajet yang sepadan dengan cita rasa anda. Kalau anda mahukan keycap yang cantik, tetapi bajet yang rendah. Baik anda mula dengan keycap yang murah terlebih dahulu dan naik tarafkan ia pada masa akan datang. Sebagai akhir kata berbelanjalah dengan cermat.