Jenayah Rasuah Didakwa Menular Dalam E-Sukan, Dibimbangi Akan Merosakkan Integriti Pertandingan Ini

Kes mengatur perlawanan dalam e-sukan adalah amat meluas.


Laman Bernama melaporkan, kes rasuah melibatkan e-sukan sedang berkembang dengan pesat sejak kebelakangan ini. Dalam laporan khasnya, "Gejala Rasuah Menular Dalam E-Sukan" menyatakan kes mengatur perlawanan dalam e-sukan adalah amat meluas.

Dakwaan tersebut hasil daripada informasi yang diberikan oleh pakar perundangan daripada pasukan undang-undang sukan global, firma perundangan antarabangsa, Withersworldwide kepada pihak Bernama.

Isu mengatur perlawanan buat pertama kalinya diiktiraf sebagai satu masalah dalam e-sukan adalah pada 2010 dan sejak daripada itu ia semakin berleluasa dengan sebahagian besarnya disebabkan oleh kurangnya peraturan.

Luca Ferari dari Withersworldwide (Ketua Sukan Global, London), Tan Spring (Rakan kongsi, Singapura) dan Paolo Macchi (Sekutu Kanan, Milan), dalam satu kenyataan bersama kepada Bernama, berkata tindakan mengatur permainan dalam e-sukan disahkan apabila pemain tersohor StarCraft dari Korea Selatan, Ma Jae-Yoon (juga dikenali sebagai sAviOr), dikenakan pengharaman seumur hidup kerana berpakat untuk sengaja kalah dalam beberapa permainan.

Selain itu, Withersworldwide turut memberikan contoh-contoh lain termasuklah insiden yang paling ketara pada 2016, apabila Lee Seung-Hyun yang terkenal namanya (pemain StarCraft II yang menggunakan nama samaran Life) didapati bersalah kerana menerima AS$60,000 (kira-kira RM251,500) untuk sengaja kalah dalam dua pertandingan.

Seung-Hyun telah dijatuhkan penjara 18 bulan, digantung tiga tahun dan didenda KRW (Won Korea Selatan) 70,000,000 (kira-kira RM250,300). Pemain itu juga diharamkan daripada menyertai e-sukan Korea Selatan seumur hidup.

Tambah Withersworldwide lagi, hakikatnya tiga e-sukan paling popular iaitu CS: GO, League of Legends dan Dota 2, kesemuanya didapati terlibat dalam skandal mengatur perlawanan.

Peguam Withersworldwide itu menerangkan, terdapat dua bentuk mengatur perlawanan.

Pertama adalah insiden peringkat rendah di mana pemain perseorangan atau pasukan e-sukan melihat peluang untuk memanipulasi keputusan tertentu permainan/pertandingan untuk memperolehi keuntungan kewangan bagi diri mereka.

Manakala yang kedua adalah peringkat tertinggi yang melibatkan perjudian di mana pemain diberi rasuah.

Menurut peguam-peguam itu, "penyakit” ini perlu dihapuskan dengan menjalankan siasatan menggunakan bantuan teknologi serta jumlah data yang banyak dikumpul semasa pertandingan.

Bernama turut mendapatkan pandangan dari pihak Persatuan Sukan Elektronik Malaysia (ESM) berkaitan dengan gelajar buruk yang membahayakan integriti e-sukan.

Menerusi timbalan presidennya, Afiq Fadhli Narawi berkata tidak ada sebarang kes mengatur perlawanan di Malaysia setakat ini. Beliau menambah badan berkenaan mengawasi semua pertandingan yang dipersetujui persatuan itu.

Sebagai peminat e-sukan sudah tentunya kita tidak mahu perbuatan mengatur perlawanan dalam e-sukan mencemari integriti pertandingan ini. Ia hanya memberikan kesan buruk jangka masa panjang kerana sekiranya peminat sudah hilang minat, sudah tentu ia akan menjejaskan nilai e-sukan.

Secara keseluruhannya, semua pihak hanya akan menerima kesan buruk, daripada peminat, pemain, industri sukan, pembangun permainan dan penganjur kejohanan yanga mana semuanya akan menanggung kerugian.

Jauhilah rasuah demi masa depan e-sukan.