Jemaah Haji Tahun 2029 Mungkin Dilengkapi Dengan Peralatan Canggih

Kepesatan teknologi di era moden ini sememangya banyak membantu kita dalam mengharungi aktiviti seharian. Perkara-perkara yang sebelum ini dianggap sukar kini lebih mudah dengan kehadiran ciptaan serba canggih.

Tidak mahu ketinggalan dalam arus teknologi tersebut, Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi dilihat memasang cita-cita besar untuk jemaah haji bagi tahun 1451H/2029.

Dikutip dari Twitter @HajMinistry, kementerian berkenaan mungkin melengkapkan tetamu tanah suci dengan suatu sistem yang berteknologi tinggi.



Video berdurasi 2 minit 51 saat itu menunjukkan jemaah akan diberi peralatan seperti gelang tangan pintar, fon telinga tanpa wayar serta kad pintar lut sinar.

Kad pintar lutsinar tersebut dapat mempercepatkan urusan daftar masuk dilapangan terbang tanpa melalui kaunter kastam, selain dapat digunakan sebagai tiket kepada perkhidmatan keretapi juga akses kepada hotel yang diinapi.

Dua lagi peranti adalah fon telinga tanpa wayar dan gelang tangan pintar untuk tujuan memberitahu maklumat tentang waktu tawaf dan beberapa informasi penting lain.

Kedua-duanya juga boleh disambungkan ke telefon pintar dan sekiranya jemaah tersesat, mereka boleh mengesan lokasi yang sepatutnya mereka berada.

Saban tahun, jumlah jemaah haji semakin meningkat dan sudah pasti teknologi yang dikongsikan diatas mampu melincinkan lagi perjalanan jemaah haji ketika melakukan ibadah.