Jangkaan Harga Pasaran OnePlus 7 Pro Didedahkan, €200 Lebih Mahal Berbanding OnePlus 6T

OnePlus telah mengumumkan bahawa mereka bakal memperkenalkan siri OnePlus 7 pada 14 Mei ini, dan salah satu daripada model siri tersebut adalah OnePlus 7 Pro.

Terbaru, pentiris terkenal Ishan Agarwal(@ishanagarwal24) telah mendedahkan harga bagi dua variasi model berkenaan di pasaran Eropah melalui akaun Twitter-nya.

https://twitter.com/ishanagarwal24/status/1121030528327614465

Menurut harga yang didedahkan, variasi 8GB RAM akan dijual pada harga €749 manakala €819 untuk model 12GB RAM. Harga bagi model 6GB RAM pula masih belum diketahui ketika ini.

Sekiranya benar, ini bermakna OnePlus 7 Pro akan dipasarkan dengan harga €200(~RM922) lebih mahal daripada OnePlus 6T. Akan tetapi, pertukaran matawang juga akan mempengaruhi harga peranti ini di pasaran lain.

Untuk rekod, OnePlus 6T didagangkan pada harga RM2588(6GB/128GB), RM2888(8GB/128GB) dan RM3188(8GB/256GB) ketika dilancarkan di Malaysia, November lalu.

 

Sumber: @ishanagarwal24 via Android Central