Jangan Terpedaya Dengan Kamera 48MP - Ini Perbezaan Yang Anda Perlu Tahu Tentang Sensor Sony IMX586 Dan Samsung GM1

Tahun lepas Sony menggemparkan dunia dengan memperkenalkan sensor IMX586 sebesar 48MP! Ingat lagi tak Nokia 808 Pureview (2012) dan Nokia Lumia 1020 (2013) dengan sensor kamera 41MP?

Umum mengetahui lebih besar nilai Megapiksel, lebih tinggi resolusi gambar.



Walaupun Nokia mendapat kritikan hebat dek kerana sistem operasi Symbian dan Windows, namun tak dapat disangkal kedua-dua peranti ini memberikan hasil gambar yang sangat dasyat pada ketika itu.

Tetapi kenapa bilangan Megapiksel yang tinggi tidak menjadi ikutan?


Apple terutamanya, sejak pengenalan iPhone 4s dan model seterusnya, lebih memfokuskan kepada perisian dan pemprosesan imej dengan menggunakan saiz piksel yang besar berbanding bilangan piksel yang tinggi.



Masalah utama yang dihadapi apabila menggunapakai bilangan piksel yang tinggi, ia memberikan resolusi yang tajam, tetapi cenderung untuk menghasilkan gambar yang lebih gelap.

Lebih banyak bilangan piksel, saiz piksel secara individual lebih kecil pada sensor imej. Lebih kecil saiz piksel, lebih kecil ruang untuk pengambilan masuk cahaya.

Jadi kenapa Sony mengambil pendekatan yang dilihat sudah lama dilupakan?


Sony IMX586 digunakan pada peranti Honor View20 manakala Samsung GM1 pada Redmi Note 7. Kedua-dua peranti mempamerkan binaan kamera 48MP. Namun ada yang mendakwa sensor 48MP adalah palsu.



Sebelum saya menceritakan dengan lebih lanjut perbezaan antara sensor Sony IMX586 dan Samsung GM1 (48MP), adalah lebih baik untuk kita ketahui asas bagaimana sesebuah gambar dihasilkan.

Setiap kamera di telefon pintar menggunakan sensor CMOS. Sensor ini berfungsi untuk menukar imej optikal kepada isyarat elektronik. Melalui elemen fotosensitif, cahaya diterima dan diproses untuk menghasilkan gambar tanpa warna seakan bayang hitam.

Bagaimana untuk mendapat gambar berwarna? Disinilah konsep RGB memainkan peranan penting untuk menghasilkan warna sesuatu gambar.

Bayer Filter


Bryce Bayer, merupakan bapa kepada pengimejan digital menggunakan mode RGB yang akhirnya berjaya mencipta gambar berwarna dengan meletakkan satu lapisan dihadapan elemen fotosensitif.



 

Seperti gambar di atas, lapisan berwarna kelabu merupakan elemen fotosensitif manakala diatasnya merupakan lapisan Bayer Filter. Setiap satu blok mewakili satu piksel bermaksud setiap satu blok piksel mewakili satu warna.



Mata manusia tidak mampu mengenalpasti setiap warna untuk setiap piksel. Maka setiap piksel akan melalui proses yang dinamakan Bayer Array dimana ia melibatkan satu lagi proses dipanggil 'Color Reproduction' untuk menghasilkan sebuah gambar berwarna.

 



Okay, memandangkan kita sudah memahami pemahaman asas tentang proses penghasilan sesebuah gambar, jom kita lihat pula perbezaan antara sensor SONY IMX586 dan Samsung GM1.

Sony IMX586 Betul-betul 48 Megapiksel Dan Samsung GM1 Sebenarnya Hanya 12 Megapiksel!


Sensor Sony IMX586 benar-benar memiliki bilangan piksel sebanyak 48 juta, yang paling tinggi dalam industri ketika ini. Kelebihan paling besar sensor ini adalah ia menggunakan teknologi Quad Bayer Array, disusun secara 4x4 dengan 4 bahagian.



Walaupun saiz piksel hanya 0.8µm, 4 piksel dimampatkan menjadi satu,  menjadikan saiz piksel lebih besar pada 1.6µm untuk menerima lebih banyak cahaya. Teknologi ini sama juga digunapakai oleh sensor Samsung GM1 seperti yang anda dapat lihat dibawah.



Beza paling ketara antara Sony IMX586 dan Samsung GM1 adalah sususan warna. Jika dilihat pada gambar diatas, setiap blok (2x2) hanya mampu mengenalpasti warna yang sama. Bermakna isyarat 'output' dari Samsung GM1 menghasilkan gambar pada 48MP dibahagikan kepada 4 iaitu pada 12MP!



Melalui Quad Bayer Array pada Sony IMX586, ia membenarkan setiap piksel untuk mengenalpasti setiap warna disekelilingnya dan mengubah susunan melalui signal pemposesan secara invidual untuk menghasilkan 'output' gambar pada saiz 48- Megapiksel.

Malah, melalui data yang diperolehi daripada spesifikasi di laman sesawang Samsung sendiri, ternyata sensor GM1 hanya menghasilkan gambar pada saiz 12MP.  Melalui spesifikasi di bawah, resolusi sebenar GM1 adalah 4000 x 3000, iaitu 12 juta bilangan piksel (12MP).



Secara mudahnya, Sony IMX586 mampu menghasilkan gambar pada 48MP  secara nyata dengan keupayaan mengubah susunan warna dan struktur piksel secara individual.

Samsung GM1 secara dasarnya memiliki bilangan 12 juta piksel. Walaupun GM1 mampu menghasilkan gambar pada 48MP, namun ia lebih kepada interpolasi imej melalui pemprosesan imej dan perisian.

Teknologi 'Pixel Binning' Untuk Penghasilan Gambar Yang Lebih Cerah Pada Waktu Malam


Sony IMX586 juga turut memfokuskan kepada penggunaan 'Pixel Binning' untuk menghasilkan gambar yang cerah pada waktu malam. Ini bermakna melalui 48-Megapiksel, gambar akan dikecilkan menjadi 12-Megapiksel.

Kapsyen: sumber: digit.in


"Eh, 12 Megapiksel maknanya gambar lagi tak sharp la maksudnya?". Ya, apabila gambar dikecilkan menjadi 12MP berbanding 48MP, hasil gambar kehilangan perincian dan saiz gambar lebih kecil. Akan tetapi ia lebih cantik di pandangan mata manusia yang melihat apabila gambar dihasilkan lebih cerah.

Senang cerita kamera 48MP yang dimiliki oleh Honor View20 adalah 48MP yang nyata tetapi kamera 48MP Redmi Note 7 hanyalah 12MP. Model Redmi Note 7 Pro juga bakal mengetangahkan kamera 48MP tetapi akan dimuatkan dengan sensor Sony IMX586.

Sekian.

Sumber: Weibo, Digit.In, Sparrowsnews.com, techtablet.com, dpreview, engadget

Berkaitan