Jangan Muat Turun Windows Movie Maker

Bagi pengguna sistem operasi Windows 10 yang ingin menyunting video, jangan muat turun perisian Windows Movie Maker. Baru-baru ini telah dikhabarkan bahawa perisian suntingan video terbabit telah dipalsukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.

Pada awal 2017 yang lalu, Microsoft telah mengumumkan penamatan perisian Movie Maker yang sebelumnya disekalikan pada pek Windows Essential 2012. Bagi sistem operasi Windows 10, Movie Maker telah digantikan dengan perisian suntingan yang baru iaitu Story Remix. Hal ini menyebabkan peminat Movie Maker mencari jalan alternatif dengan memuat turun perisian tersebut dari mana-mana sumber yang mereka jumpa di internet.

Kapsyen: Laman web palsu yang menawarkan muat turun Windows Movie Maker


 

Kapsyen: Contoh laman web palsu


Melihat kepada perkara tersebut, pihak tidak bertanggungjawab cuba mengambil kesempatan dengan membangunkan perisian Windows Movie Maker yang palsu dan laman web muat turun yang tampak meyakinkan.



Awalnya, perisian palsu ini akan meminta pengguna membayar sekitar $30 (~RM125.06) untuk versi penuh dan ia akan berulang kali meminta bayaran setiap kali pengguna cuba untuk menyimpan video yang disunting.

Amat menyedihkan kerana tiada alternatif lain bagi pengguna Windows 10 untuk menggunakan Movie Maker kerana Microsoft tidak lagi menyediakan muat turun secara rasmi. Disamping itu, mereka juga mahu pengguna mencuba Story Remix sebagai perisian suntingan yang baru.

Sumber: ESET Security