Jam Wear OS Kini Ada Harapan Untuk Ketahanan Bateri Lebih Lama Dengan Snapdragon 4100 Terbaru

Salah satu kelemahan utama untuk jam pintar Wear OS dari Google adalah disebabkan ketahanan bateri yang rata-ratanya lemah. Bab perisian mungkin boleh menjadi satu faktor yang lain.  Namun apa yang pasti, untuk model mercu, ia menggunakan cip yang agak usang.

Hari ini, Qualcomm telah mengumumkan 2 cip terbaharu untuk platform Wear OS iaitu Snapdragon 4100+ dan Snadragon 4100. Ia akan menggantikan Snapdragon 3100 yang telah diumumkan pada tahun 2018 lalu.



Secara tradisi, untuk jam pintar, Qualcomm kebiasannya mengumumkan cip terbaharu setiap 2 tahun sekali. Snapdragon 2100 pada tahun 2016, Snapdragon 3100 pada tahun 2018, dan Snapdragon 4100 untuk tahun 2020 ini.

Dengan cip terbaharu ini, Qualcom menjanjikan sesuatu yang paling diingini oleh peminat Wear OS iaitu ketahanan bateri lebih lama. Selain itu, terdapat peningkatan prestasi dari segi CPU dan GPU dan juga memori lebih pantas.

 

Untuk model cip mercu Snapdragon 4100+, perbezaannya dengan Snapdragon 4100 hanyalah penyertaan cip always-on QCC110. Jika ada pengeluar yang tidak mahu meletakkan fungsi always-on pada jam pintar mereka, mereka boleh sahaja memilih Snapdragon 4100.

Spesifikasi Snapdragon 4100 dan Snapdragon 4100+


Dengan peralihan dari binaan 28nm ke 12nm, ia merupakan lonjakan yang agak besar terutamanya dari segi ketahanan bateri. Pada masa yang sama CPU adalah 85% lebih pantas disebabkan penggunaan Cortex-A53 berbanding Cortex-A7 pada Snapdragon 3100.

Menurut Qualcomm, GPU pula adalah 2.5 kali ganda berbanding cip sebelumnya dengan penggunaan Adreno A504.



Cip tambahan QCC110 pada Snapdragon 4100+ juga telah dipertingkatkan. Ia kini mampu memaparkan warna lebih banyak untuk fungsi always-on iaitu 64,000 (16 bit) warna berbanding hanya 16 (4 bit) sahaja pada 3100.

Antara lain yang disokong adalah penjejakan langkah dan jantung, petunjuk hayat bateri, penggera, peringatan, tindak balas haptik, masa, dan juga tarikh.



Antara pengeluar yang bakal menggunakan cip ini adalah Mobvoi dalam model terbaharu Ticwatch mereka.

Secara realitinya, Wear OS adalah sedikit ketinggalan berbanding platform lain seperti Amazfit, Fitbit, atau Tizen dengan fungsi-fungsi jam pintar yang lebih menarik dan juga ketahanan bateri lebih lama.

Namun, diharapkan dengan penggunaan cip yang terbaharu ini, Google tidak lagi terbantut untuk menawarkan perisian yang lebih kompetitif dalam arena industri jam pintar.

Sumber: Qualcomm

Berkaitan