Jam Pintar Terbaru Huawei Mampu Merevolusi Dunia Permainan Video Mudah Alih

Huawei dikatakan telah bergerak satu langkah ke hadapan dalam penghasilan jam pintar apabila mereka dilaporkan telah memfailkan sebuah rekaan paten bagi jam pintar yang boleh menjalankan permainan video pertama mereka. Menurut daripada paten tersebut, ia akan dapat mengesan pelbagai jenis pergerakan berbeza bagi mengenal pasti arahan daripada pengguna. Paten yang telah dihantar ke World Intellectual Property Office(WIPO) ini telah didedahkan buat pertama kali oleh LetsGoDigital.


Kredit imej : LetsGoDigital

Berdasarkan kepada imej di atas, pengguna akan dapat mengawal operasi peranti ini melalui gerakan sentuhan pada tali jam pintar ini selain skrin sesentuh yang biasa digunakan oleh peranti jam pintar lain. Selain itu, peranti ini juga akan menggunakan papan kekunci maya pada talinya yang akan memudahkan pemiliknya untuk menaip apa jua yang diingini. Jam pintar Huawei ini dijangka akan menggunakan reka bentuk empat segi serta menyokong fungsi zum melalui sentuhan pada skrin serta tali.



Menurut satu lagi imej yang ditampilkan bersama rekaan paten itu, peranti ini dijangka akan menyokong fungsi skrin dan kawalan secara menegak dan juga melintang. Ini dapat dilihat pada perbezaan tangkapan skrin permainan video pada imej terdahulu serta imej di atas. Peranti ini turut diramal akan membolehkan pengguna untuk menetapkan tetapan kawalan tersendiri bagi memberi keselesaan kepada mereka.

Walaubagaimapun, harus diingatkan bahawa Huawei merupakan antara syarikat yang paling selalu memfailkan paten dan terdapat banyak rekaan paten terdahulu yang perantinya masih belum dihasilkan oleh mereka. Untuk pengetahuan pembaca, rekaan paten ini telah dihantar oleh pihak Huawei pada Disember tahun lepas dan hanya diluluskan oleh pihak WIPO pada 4 April yang lalu.

Sumber