Jadikan Galeri Instagram Anda Lebih Menarik Dengan InstaSwipe

Kiriman sumbangan pembaca: Aminuddin Ahmad

Bosan dengan trend gambar yang dimuatnaik di Instagram sekarang? Ingin cuba sesuatu yang baru dan jadi trendsetter dalam kalangan pengikut? Jangan runsing lagi.



InstaSwipe, sebuah aplikasi yang terdapat di Playstore mampu menaikkan reputasi anda
sebagai pengguna Instagram yang kreatif. Aplikasi ini berfungsi untuk memuatnaik satu gambar ke dalam beberapa slide.


Sebagai contoh, anda mempunyai sebuah gambar pemandangan panorama yang begitu
mempesonakan seperti ia diambil daripada Jannatul Firdaus. Tetapi anda berasa kurang berpuas hati jika dimuatnaik ia ke Instagram kerana gambar tersebut akan menjadi terlalu kecil dan anda tidak dapat berkongsi perasaan dan kecantikan itu bersama rakan-rakan lain di Instagram.

Dengan aplikasi InstaSwipe, gambar anda akan ‘dipotong’ ke beberapa bahagian lalu setiap bahagian tersebut akan dimuatnaik sebagai sekeping gambar.



Berkat fungsi Intagram yang membolehkan pengguna memuatnaik sehingga 10 keping gambar, aplikasi ini mengguna pakai kelebihan tersebut dan menjadikan hasil muat naik anda begitu menakjubkan.

Sebagai contoh, jika anda memilih untuk membahagikan gambar tersebut kepada 5 bahagian secara mendatar, maka apabila ia dimuatnaik ke Instagram, ia akan menjadi 5 keping gambar. Tetapi apabila pengikut anda menatal gambar-gambar tersebut ke kiri dan kanan, semua gambar-gambar tersebut berturutan dan kelihatan seperti dalam satu gambar!


Untuk lebih kepuasan dan kebanggaan, kami syorkan anda menggunakan gambar yang diambil dalam mod panorama atau sekurang-kurangnya landskap kerana aplikasi ini akan membahagikan gambar anda secara mendatar (horizontal) sahaja.

Gambar yang diedit anda akan menjadi sedikit pelik jika diambil dari gambar yang bersaiz petak (1:1) atau saiz biasa (16:9). Anda boleh bahagikan gambar anda ke beberapa bahagian daripada 1 hingga 10, mematuhi had gambar yang ditetapkan Instagram. Semakin banyak pembahagian dilakukan, semakin kurang tinggi gambar tersebut. Selain itu anda juga boleh memutarkan gambar mengikut citarasa anda.

Dengan aplikasi ini, selain menambahkan bilangan pengikut dan mengukuhkan pengaruh di
Instagram, anda juga berkemungkinan menerima komen dan direct message daripada gadis-gadis “#igers” untuk mengajar mereka teknik yang berharga ini.

 

Berkaitan