Jabatan Kehakiman AS Tahan Pasangan Penggodam Suami Isteri Yang Mencuri $4.5 Billion Bitcoin

Pada 2 Ogos 2016, sebuah platform pertukaran kriptowang Bitfinex telah digodam. Lebih dari 2,000 transaksi haram telah dilakukan dan kira-kira bitcoin bernilai $4.5 bilion (nilai hari ini) telah dicuri selepas penggodam berjaya memecah masuk sistem keselamatn Bitfinex.

Selang 6 tahun kemudian, pasangan Ilya Lichtenstein, 34, dan Heather Morgan, 31, ditahan oleh Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat atas tuduhan menggubal wang serta menipu kerajaan Amerika Syarikat.

Dikatakan pasangan tersebut bertanggung jawab terhadap kecurian bitcoin dalam Bitfinex pada tahun 2016 lalu.

Namun begitu, hanya aset bitcoin bernilai $3.6 bilion sahaja yang berjaya diperoleh semula oleh Jabatan Kehakiman AS - jumlah keseluruhan nilai bitcoin yang dicuri adalah $4.5 bilion.

Asas tuduhan adalah, pendakwa raya menemui aset bitcoin itu dihantar ke dompet digital yang dimiliki oleh Lichtenstein.

Lebih dari 1 per 3 jumlah bitcoin yang dicuri telah dikeluarkan dari dompet digital Lichtenstein melalui pelbagai proses rumit seperti mencipta akaun palsu, menukar bitcoin kepada unit kriptowang lain, dan lain-lain.

Baki 94,000 bitcoin yang belum dikeluarkan masih ada dalam dompet digital dan berjaya diperoleh semula oleh pihak pendakwa raya.

Melalui kenyataan dari Bitfinex, mereka akan bekerjasama dengan pihak berkuasa AS untuk memastikan wang dan aset yang dicuri pulang kepada tuan asal.

Mengenai Ilya Lichtenstein dan Heather Morgan, mereka merupakan individu berprofil tinggi dalam industri teknologi.

Lichtenstein mempunyai dwi warganegara AS dan Russia yang mengasaskan syarikat perisian MixRank. Morgan pula adalah pengasas dan CEO kepada syarikat pemula SalesFolk.

Sumber: Techcrunch, Newsweek