Isu Liputan Telekomunikasi Di Kg. Ulu Entabuan, Tenom Berpunca Daripada Bentuk Muka Bumi





Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari Cawangan Keningau baru-baru ini telah melawat Kg. Ulu Entabuan di Tenom, Sabah.

Lawatan itu adalah bagi meninjau dan berjumpa dengan pelajar SMK Entabuan berkaitan isu liputan telekomunikasi di lokasi tersebut.

Sebelum ini terdapat laporan media mengenai dua orang pelajar SMK Entabuan itu yang terpaksa mendaki ke puncak bukit berdekatan untuk mengikuti sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) di pondok kebun getah.

Hasil tinjauan SKMM mendapati lokasi Kg. Ulu Entabuan itu terhalang oleh bentuk muka buminya yang berbukit, menjadi punca kepada berlakunya liputan internet yang lemah di perkampungan tersebut.

Sehubungan itu, SKMM memaklumkan bahawa pihak mereka mempunyai perancangan jangka panjang untuk membina menara komunikasi baharu dan memperbaiki liputan telekomunikasi di kawasan tersebut di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Tetapi untuk sementara waktu ini, sebuah menara komunikasi berdekatan yang terletak lebih kurang 2.88 kilometer di Skim Penempatan Getah Lagud Seberang akan dinaik taraf untuk memberikan perkhidmatan 4G kepada penduduk dan dijangka siap menjelang April 2022 nanti.

Untuk pelan jangka masa panjang pula, SKMM akan mendirikan dua buah menara komunikasi di dua buah kampung yang berdekatan.

Sebuah menara baharu kini sedang dibina di Kg. Mandalom Baru yang jaraknya lebih kurang 2.75 kilometer dari Kg. Ulu Entabuan dan dijangka akan beroperasi pada bulan April 2022.

Manakala, sebuah menara lagi pula akan mula dibina pada awal tahun 2022 di Kg. Makakumpai yang jaraknya lebih kurang 3.3 kilometer dari Kg. Ulu Entabuan.

Sumber: SKMM