iPhone SE 2 Dikhabarkan Bakal Dilancarkan Pada Bulan Mei

Apple Inc dikhabarkan akan melancarkan peranti terbaru mereka, iPhone SE 2 seawal bulan hadapan, menurut laporan sebuah laman Jepun, Macotakara. Ia merupakan penyambung legasi bagi peranti iPhone SE pertama yang dilancarkan pada tahun 2017 dan bakal mempunyai spesifikasi yang menyerupai iPhone 7.



Menurut Macotakara lagi, mereka telah berhubung dengan pengeluar-pengeluar cengkeram telefon bagi peranti iPhone dan mereka menyatakan bahawa cengkeram buat iPhone SE akan muat pada iPhone SE 2. Ia sekaligus menguatkan ura-ura bahawa peranti terbaru Apple ini akan mempunyai saiz yang sama seperti iPhone SE iaitu 4 inci.

Selain itu, iPhone SE 2 ini juga dikhabarkan akan dilengkapi dengan set cip 64-bit A10 Fusion, cip yang sama digunapakai pada peranti iPhone 7. Walaubagaimanapun, peranti ini dikatakan tidak akan mempunyai bicu audio dan akan menggunakan ciri TouchID dan bukan FaceID.



Terdapat juga laporan berasingan yang mendakwa peranti iPhone SE 2 ini akan menggunakan kaca pada bahagian belakangnya bagi membolehkan pengecasan tanpa wayar dilakukan. Setakat ini, iPhone 8, iPhone 8 Plus dan iPhone X sudah menggunakan fungsi pengecasan tanpa wayar ini. Akan tetapi belum ada sumber yang sahih berkenaan dakwaan ini.

Sekiranya benar dakwaan bahawa peranti iPhone SE 2 ini adalah sebuah peranti bersaiz 4 inci, ini merupakan satu langkah yang berani diambil oleh Apple memandangkan permintaan pasaran kini lebih mementingkan keluasan skrin. Nantikan pengumuman rasmi dari pihak Apple berkenaan status peranti ini dalam masa terdekat.

Sumber