iPhone SE 2 Berkemungkinan Dijual Sekitar ~RM1671

Terdahulu kita telah dihidangkan dengan laporan mengenai iPhone SE 2 yang dikhabarkan bakal dilancarkan pada suku pertama tahun hadapan.

Ia turut dikatakan akan membawakan reka bentuk fizikal sama seperti iPhone 8 yang akan dimuatkan dengan cip pemprosesan terbaru, A13 Bionic serta RAM 3GB dengan pilihan storan antara 64GB atau 128GB. Kini menambah kepada perkhabaran sedia ada, ia mungkin dijual pada harga sekitar $399 (~RM1671).

Perkara ini diramal oleh Ming-Chi Kuo, penganalisis sekuriti yang kerap berkongsi informasi awal mengenai keluaran Apple. Melihat kepada harga ini, ia dijangka mampu menjadi tarikan kepada pengguna, lebih-lebih lagi bagi yang mencari peranti bersaiz lebih kecil berbanding model yang berada dipasaran ketika ini.

Imbas kembali ketika pelancaran iPhone SE pertama pada 2016 lepas, ia turut dipasarkan pada harga sama $399 dengan spesifikasi seperti cip A9 dan storan 16GB.