iPhone Bakal Mengikut Jejak Langkah Huawei Dengan Tetapan 3 Kamera Utama

Sudah diketahui umum Huawei mempelopori tetapan tiga kamera utama. Suka atau tidak, pada kami ianya bakal menjadi tanda aras kepada pengeluar telefon pintar yang lain untuk turut sama mengikut jejak langkah yang diambil oleh Huawei. Tetapan dua kamera mungkin tidak lagi mencukupi untuk telefon pintar.

Menurut laporan daripada Taipei Times, generasi iPhone seterusnya bakal mengikuti langkah Huawei dalam membawakan tetapan tiga-kamera utama pada pertengahan tahun 2019.

Satu lagi laporan daripada Ming-Chi Kuo, iaitu salah satu penganalisa terkenal produk Apple, model iPhone tiga kamera ini tidak mungkin muncul tahun ini kerana model iPhone tahun ini masih lagi mengekalkan tetapan dwi-kamera iaitu dengan variasi iPhone X Plus pada September ini.

Model iPhone tahun ini juga dikhabarkan bakal hadir dengan sistem 5X zoom optikal dan sensor 12-MP, satu penambahbaikkan terhadap 2X zoom optikal pada iPhone 7 Plus, iPhone 8 Plus dan iPhone X.

Ianya juga bakal dilengkapi dengan Cover Glass Sensor (CGS) yang membawakan ciri yang lebih tahan lasak dan tak mudah pecah dan lebih ringan. Tidak pasti sama ada ianya sahih atau tidak kerana teknologi CGS tidak membenarkan sentuhan 3D yang dibawakan oleh peranti iPhone sejak iPhone 6.