iPhone 12 Untuk Pasaran Malaysia Tidak Disertakan Dengan 5G mmWave - Hanya 5G Sub-6GHz Sahaja

Kesemua iPhone 12 yang dilancarkan semalam hadir dengan rangkaian 5G. Secara umum, rangkaian kelajuan 5G terbahagi kepada 2 - sub-6GHz dan juga mmWave.

mmWave merupakan rangkaian 5G yang lebih pantas daripada sub-6GHz. Namun begitu, Apple dilihat hanya menawarkan rangkaian 5G mmWave tersebut untuk pasaran Amerika Syarikat sahaja.

Ini bermakna, pengguna di luar pasaran AS termasuklah Malaysia hanya dapat menggunakan teknologi 5G sub-6Ghz sahaja yang lebih perlahan.

Jika diperhatikan melalui laman web rasmi Apple Malaysia, anda akan melihat hanya rangkaian mmWave yang disenaraikan berbanding AS dengan kedua-dua jenis rangkaian 5G.

Kapsyen: Spesifikasi 5G iPhone 12 untuk pasaran AS


Kapsyen: Spesifikasi 5G iPhone 12 untuk pasaran Malaysia


Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu kelemahan yang nyata disebabkan sub-6GHz pun masih juga rangkaian 5G yang lebih pantas dari 4G.

Jika dibandingkan, kelajuan dari muat turun rangkaian sub-6GHz hanya sepantas 213Mbps sedangkan mmWave pula adalah sekitar 1.1Gbps.

Dari segi kelebihan lain, walaupun mmWave lebih pantas, ia menggunakan frekuensi lebih tinggi berbanding sub-6GHz. Justeru, ia mempunyai liputan kawasan yang lebih kecil dan mudah terputus-putus walaupun dihadang dengan pokok.

Tambahan lagi, rata-rata syarikat rangkaian telekomunikasi di Malaysia setakat ini hanya menguji rangkaian 5G sub-6Ghz sahaja.

Dengan kata lain, anda tidaklah tertinggal sangat jika dibandingkan dengan 5G di luar negara.

Walau bagaimanapun, lebih baik jika Apple menyertakan rangkaian 5G mmWave untuk pasaran Malaysia agar boleh digunakan pada masa-masa yang mendatang.