iPhone 11 Pro Dan 11 Pro Max Adalah Telefon Pintar Terbaik Ketika Ini, Tapi...

Hummmm... ada tapinya.


Sebelum ini telah ditakhtakan, Google Pixel 4 sebagai telefon pintar paling 'hampeh' bagi tahun 2019/2020. Jika ada yang paling teruk, mestilah juga ada yang terbaik.

Jadi telefon pintar terbaik bagi tahun 2019/2020 adalah tidak lain dan tidak bukan, iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max. Sekurang-kurangnya ia adalah pada pendapat peribadi penulis berdasarkan kepada spesifikasi, ciri dan pendapat pemerhati yang lain.

Jadi, apa yang menyebabkan iPhone 11 Pro Max ditakhtakan sebagai telefon pintar terbaik ketika ini oleh penulis?


  • Harga




Bukan sesuatu yang pelik, harga iPhone yang mahal adalah antara poin penting yang menjadikannya sebagai telefon pintar terbaik. Mana tidaknya, tiada pengeluar telefon pintar lain yang berani meletakkan harga sepertimana Apple. Malah Apple memang dari dahulu lagi sedia diketahui menjual produk bukan pada harga mesra pembeli.

Sungguhpun ramai yang menyatakan ia sebagai telefon pintar yang terlalu mahal untuk dimiliki, tetapi masih ramai pengguna yang membelinya.

Malah statistik bagi kategori jualan telefon pintar premium, Apple iPhone masih jauh lebih popular dan terjual lebih banyak berbanding model telefon pintar premium jenama yang lain.

Kapsyen: Kredit: Counterpoint


 

Kapsyen: iPhone 11 Pro Max berharga dari RM5,299.00. Memang mahal sebab ia Apple dan ini adalah iPhone!


Harga yang mahal pula  bukan saja-saja diletakkan sebegitu, tetapi diterjemahkan kepada poin yang seterusnya (tak macam Pixel 4).


  • Prestasi A13 Bionic




Prestasi cip pemprosesan terbaru yang dibangunkan Apple bagi barisan model iPhone 11 iaitu A13 Bionic tidak perlu dipertikaikan. Memang adalah yang paling berkuasa pernah dibangunkan dan dimuatkan dalam sesebuah telefon pintar.

Snapdragon 855+, Kirin 990, Mediatek, Samsung Exynos? Semua tu kelaut.

Kapsyen: Skor ujian prestasi A13 Bionic adalah tertinggi yang pernah dicapai pada telefon pintar.



  • Kemasan buatan




Apple memang terkenal dengan ketelitian dan kemasan akhir produk keluaran mereka. Anda boleh bandingkan sendiri dengan melihat perincian yang dilakukan Apple terhadap iPhone 11. Sangat kemas dan pengguna akan dapat merasai kualiti premium produk Apple  dengan menyentuhnya sahaja.

Tetapi ini tidak bermakna telefon pintar lain tidak berkualiti dan kemas buatannya. Cuma untuk menyamakannya sama tahap dengan kualiti premium iPhone 11 dari Apple, telefon pintar dari pengeluar lain belum mampu menandinginya.


  • Kamera menakjubkan




Kamera iPhone 11 Pro dan Pro max sudah tentulah adalah yang terbaik dikalangan yang terbaik. Bandingkan saja keupayaan kamera iPhone 11 Pro dengan Pixel 4, kualiti kamera iPhone 11 Pro adalah jauh lebih baik.

Bukan itu saja, kamera hadapan iPhone 11 Pro adalah satu-satunya yang menyokong rakaman video 4K (sehingga 60fps) ketika ini. Sekaligus menjadikan iPhone 11 Pro adalah telefon pintar dengan kamera terbaik untuk rakaman video bagi pengguna profesional.

Sebagai contoh, klip video lagu terbaru artis popular Selena Gomez dirakam sepenuhnya menggunakan iPhone 11 Pro.

https://www.youtube.com/watch?time_continue=1&v=zlJDTxahav0

Tidak setakat itu, dengan kehadiran teknologi terbaru yang diperkenalkan Apple khusus pada barisan iPhone 11 iaitu deep fusion, ia meletakkan lagi keupayaan kamera iPhone selangkah dihadapan dari kamera telefon pintar yang lain.


  • Keupayaan bateri dipertingkat




Jika dahulunya pengguna iPhone sering diketawakan kerana ketahanan bateri yang singkat, tetapi kini tidak lagi. iPhone 11 Pro Max yang dilengkapi dengan bateri berkapasiti 3969mAh kini dikatakan sebagai telefon pintar yang  mampu bertahan paling lama dalam penggunaan seharian.

Ia terbukti menerusi ujian oleh Consumer Report dan beberapa vlogger YouTube yang menguji sendiri kemampuan bateri iPhone 11 Pro Max yang turut membandingkannya dengan bateri model-model telefon pintar premium yang lain.

https://www.youtube.com/watch?v=KQPt_1URvao


  • iOS




Ciri keselamatan adalah antara perkara penting yang sering diremehkan oleh pengguna dalam membeli sesebuah peranti. Tetapi bagi pengguna yang mementingkan ciri keselamatan dan privasi data mereka, iPhone yang dikuasakan iOS menjadi pilihan terbaik untuk mereka.

Ini kerana ekosistem iOS adalah tertutup, tidak seperti sistem Android yang terbuka sekaligus menjadikan peranti Android  lebih mudah terdedah kepada isu penggodaman.

Lihat sajalah sepanjang tahun ini, begitu banyak isu perisian hasad yang menjangkiti pengguna peranti Android di seluruh dunia. Malah hampir setiap bulan, ada saja laporan penemuan perisian hasad oleh penyeldik keselamatan yang ditemui dalam aplikasi-aplikasi yang ditawarkan di Google Play Store.


  • Skrin Super Retina XDR




Skrin iPhone memang tidak disangkal adalah dikalangan yang terbaik. Tetapi dengan kehadiran teknologi Super Retina XDR, ia sekaligus menjadikan iPhone 11 Pro dan Pro Max sebagai telefon pintar dengan paparan terbaik ketika ini. Ummm bukan-bukan, mungkin yang kedua terbaik, selepas Samsung Galaxy S10+.

Ini kerana terdapat beberapa perbezaan ketara pada ciri skrin iPhone 11 Pro Max dengan Samsung Galaxy S10+ ataupun dari skrin telefon pintar premium lain yang boleh dibahaskan. Tetapi secara ringkasnya, iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max masih antara yang terbaik ketika ini.

Kapsyen: Paparan Samsung Galaxy S10+ vs iPhone 11 Pro Max. Kredit: GSM Arena.


Jadi, berdasarkan kepada fakta-fakta di atas, iPhone 11 Pro Max tidak boleh disangkal lagi sebagai model telefon pintar terbaik yang ditawarkan kepada pengguna ketika ini.

Walaubagaimanapun...


Sungguhpun Apple menambah baik iPhone 2019, tetapi terdapat beberapa kekurangan yang agak mengecewakan sebenarnya. Lihat sahaja pada rekaan skrin iPhone 2019, ia masih menggunakan rekaan bertakuk 2017 yang pertama kali diperkenalkan pada iPhone X.

Malah kurangnya inovasi yang diperkenalkan Apple terhadap iPhone 2019.

(Sudah dibincangkan dengan panjang lebar sebelum ini dalam artikel Anda Mungkin Patut Lupakan Sahaja iPhone 11 dan Apple Berselindung Disebalik Kamera iPhone 11 Bagi Menutup Kekurangan Inovasi iPhone).

Kesimpulan


Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah iPhone 11 Pro dan 11 Pro Max layak ditabalkan sebagai telefon pintar terbaik ketika ini. Sungguh pun terdapat beberapa kekurangan seperti ketiadaan 5G, ia tidak begitu mempengaruhi keputusan ini.

Ini kerana teknologi 5G di Malaysia pun tak ketahuan lagi. Malah hanya beberapa negara di dunia sahaja ketika ini yang sudah sedia menyokong capaian rangkain 5G secara meluas seperti Korea Selatan dan beberapa buah negara di Eropah.

Sama ada keputusan ini betul ataupun tidak, ia tidak begitu penting kerana seperti yang diberitahu awal tadi, ini adalah pendapat peribadi penulis semata-mata.

Akhir kata, iPhone memang mahal. Malah terlalu mahal bagi kebanyakkan pengguna. Menjadikannya yang terbaik pula, tidak pula bermakna ia mesti dimiliki.

Sekian.