iPhone 11 Mendapat Skor DxOMark 109 - Lebih Rendah Dari Xiaomi Mi 9

Kamera iPhone 11 Pro Max sudahpun diuji beberapa bulan sebelum ini dan mendapat skor sebanyak 117. Namun iPhone 11 masih belum diuji dan ramai peminat gajet menunggu-nunggu bila pihak DxOMark akan menguji peranti ini. Nampaknya hari ini, mereka telah pun menguji dan menyiarkan secara rasmi skor peranti berkenaan.

Untuk iPhone 11, peranti itu berjaya mendapat skor kamera sebanyak 109. Markah ini walau bagaimanapun bukanlah markah yang tinggi untuk menduduki 10 teratas dalam carta kamera DxOMark tersebut.

iPhone 11 hanya menggunakan 2 sahaja lensa belakang berbanding pesaing yang rata-rata menggunakan 3 hingga lebih lensa kamera belakang. Jadi, dengan ketiadaan lensa telefoto atau zoom, amat sukar untuk peranti tersebut melawan skor peranti pesaing yang lain.

Sebagai contoh, markah ini adalah setara dengan Huawei P20 Pro yang dilancarkan 2 tahun lepas dan juga sedikit bawah berbanding Xiaomi Mi 9 (110) yang dilancarkan awal tahun lalu.

Menurut DxOMark, iPhone 11 merupakan peranti yang mempunyai kualiti imej dan video yang cemerlang. Dibandingkan dengan iPhone XS Max tahun lepas yang mempunyai skor 106, ia masih lagi menawarkan peningkatan kualiti kamera yang lebih baik.

Kapsyen: Skor imej dan video iPhone 11


Markah video kedua-dua iPhone 11 dan iPhone 11 Pro Max adalah hampir sama. Ketiadaan lensa ketiga pada iPhone 11 menjadikan skor yang diperoleh pada zoom dan bokeh lebih rendah berbanding iPhone 11 Pro Max. Walaupun begitu, kualiti ultralebar pada iPhone 11 adalah sama hebat dengan model Pro.

Kapsyen: iPhone 11


Dengan harga yang mesra poket, lebih ramai pembeli lebih tertarik untuk membeli iPhone 11 disebabkan kualiti lensa utama dan juga kualiti video yang cemerlang walaupun dengan ketiadaan lensa telefoto.

Sumber: DxOMark