iPhone 11, 11 Pro Dan 11 Pro Max Kini Rasmi Dilancarkan, Harga Bermula Dari RM3399

Reading Time: 3 minutes

Saat yang ditunggu-tunggu oleh peminat Apple sudah pun tiba dimana Apple kini dengan rasminya mengumumkan tiga model terbaru untuk tahun 2019. Dikenali dengan nama iPhone 11, iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max, ketiga-tiganya bakal dikuasakan dengan cip pemprosesan Bionic A13.

Spesifikasi untuk ketiga-tiga peranti adalah seperti berikut:

iPhone 11

iPhone 11 dengan enam pilihan warna

iPhone 11 merupakan pengganti kepada iPhone XR. Apple meletakkan skrin paparan 6.1 inci dibahagian hadapan peranti dengan rekaan takuk dihuni lensa kamera bersama fungsi Face ID.

Perubahan ketara diberikan pada kelengkapan kamera belakang dimana mempunyai dua lensa kamera pada bahagian belakang iPhone 11 yang terdiri daripada 12MP f/1.8 (wide) + 12MP f/2.4 (ultra wide) dengan 2x zoom optikal.

Selain itu, mod Night juga dikatakan mampu bersaing dengan model lain seperti barisan peranti Pixel serta siri Galaxy Note 10 juga Galaxy S10.

Kiri: Tanpa Night Mode, Kanan: Night Mode

Bagi rakaman video, satu sentuhan mudah boleh dibuat untuk bertukar antara kamera biasa kepada lensa ultra lebar dan ia menyokong resolusi 4K 60fps, slow-mo, time lapse dan extended dynamic range.

Rakaman hadapan pula digalas oleh lensa 12MP TrueDepth sudut lebar yang turut menyokong ciri 4K 60fps, serta buat julung kalinya ciri slow mo bagi selfie.

Bagi janaan kuasa peranti, bateri iPhone 11 dikatakan sejam lebih lama berbanding iPhone XR dan ia juga mempunyai pensijilan IP68.

 

iPhone 11 Pro dan iPhone 11 Pro Max

Buat pertama kalinya Apple menggunakan nama “Pro” pada model iPhone mereka. Menurut CEO syarikat, Tim Cook, versi Pro ini adalah iPhone paling berkuasa pernah dibangunkan berbanding keluaran sebelum ini.

Menyajikan empat pilihan warna, Midnight Green, Space Grey,  Silver dan Gold, rekaannya mirip seperti iPhone XS tetapi dengan penambahan satu lensa pada bahagian belakang.

Menggunakan paparan OLED, ia menjanjikan 15% lebih cekap tenaga, kecerahan sehingga 1200 nits dan dipanggil Apple sebagai Super Retina XDR dengan masing-masing akan tampil lengkap bersama skrin bersaiz 5.8 inci (11 Pro) serta 6.5 inci (11 Pro Max).

Dikuasakan dengan cip Bionic A13, Apple menyatakan selain mempunyai CPU dan GPU yang terpantas pada telefon pintar, prestasi mesim pembelajaran juga ditambah baik.

Dari segi janaan kuasa, bateri iPhone 11 Pro mampu memberikan 4 jam lebih “nayawa” berbanding iPhone XS sementara 11 Pro Max pula dijanjikan dengan 5 jam lebih lama berbanding XS Max.

Tiga lensa kamera terletak pada bucu kiri panel belakang merupakan kombinasi lensa 12MP f/1.8 (wide)+12MP f/2.0 (telefoto)+12MP f/2.4 (ultra wide). Penambahan lensa ultra wide ini membolehkan pengguna mendapatkan rakaman lebih menarik pada sudut berbeza.

Antara ciri lain yang disokong kedua-dua model ini ialah HDR 10, Dolby Vision serta Dolby Atmos. Apple membekalkan peranti ini dengan pengecas 18W di dalam kotak.

Harga jualan rasmi di Malaysia

iPhone 11

  • 64GB – RM3399
  • 128GB – RM3599
  • 256GB – RM4099

iPhone 11 Pro

  • 64GB – RM4899
  • 256GB – RM5599
  • 256GB – RM6499

iPhone 11 Pro Max

  • 64GB – RM5299
  • 256GB – RM5999
  • 512GB – RM6899

Penawaran peranti akan mula dibuat pada 27 September depan.

Helmi Samsuri
Tentang Penulis

Pengerusi Kelab Catur Wiser.my

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *