iPad Tanpa Butang Home Dan Dilengkapi Dengan FaceID Bakal Dilancar Pada 2018

Salah satu pembaharuan diperkenalkan Apple adalah teknologi FaceID yang dibawa menerusi iPhone X. Tidak terhenti disitu, fungsi nyahkunci tersebut dijangka akan melengkapkan iPad terbaru Apple pada tahun hadapan.

Dikatakan bakal hadir pada saiz paparan sebesar 10.5 inci mirip iPad Pro, model itu turut dipercayai akan dikeluarkan tanpa mempunyai butang Home seperti keluaran yang terdahulu. Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Bloomberg, iPad terbaru mungkin tampil dengan rekaan bingkai nipis yang membawakan paparan yang lebih luas.

Kita boleh membayangkan iPad yang baru ini umpama jelmaan iPhone X tetapi berbeza dari segi saiz. Difahamkan lagi, ia tidak dapat menggunakan paparan jenis OLED akibat masalah teknikal dan kewangan, dan untuk itu sudah pasti panel LCD menjadi pilihan Apple.



*imej diatas hanyalah rekaan konsep hasil ciptaan Delta Concepts

Sumber: Bloomberg