iPad Pro Kini Dengan USB-C Dan Face ID Untuk Paparan Yang Lebih Luas

Apple mengumumkan rangkaian iPad Pro terbaru dengan beberapa ciri-ciri yang lebih moden dimasukkan. Untuk pertama kalinya, iPad Pro akan menampilkan Face ID sebagai sistem nyahkunci, meninggalkan Touch ID seterusnya memberikan paparan yang lebih luas kepada pengguna.

Apa yang terbaru adalah port USB-C mereka yang menggantikan port Lightning. Ini secara tidak langsung memberikan fungsi pengecasan kepada peranti lain melalui iPad Pro. Apple antara terawal pada tahun 2015 menggunakan port USB-C dan kini peranti iPad Pro mereka bakal mengikuti jejak langkah tersebut. USB-C juga dapat menyokong paparan luar sehingga 5K membuatkan peranti ini lebih mesra produktiviti.



iPad Pro 2018 kini dikuasakan dengan cip A12X terbaru yang lebih berkuasa dan ruang storan bermula dari 64GB sehingga 1TB. Paparan iPad Pro adalah dari jenis Liquid Retina LCD yang mirip seperti di dalam iPhone XR. iPad Pro akan menggunakan sistem operasi iOS dan berfungsi sama seperti peranti iPhone mereka (bergantung kepada spesifikasi). Dengan sokongan neural engine yang terdapat di dalam cip pemprosesan A12X, iPad Pro dapat menyokong aplikasi Augmented Reality (AR).



Tidak ketinggalan adalah Apple Pencil yang kini sudah boleh dilekatkan secara mangnetik kepada iPad Pro dan dicas tanpa menggunakan wayar. Apple Pencil sebelum ini dikritik hebat kerana fungsi yang dilihat hanya menyusahkan pengguna mereka dan hanya dicas melalui port Lightning.

iPad Pro ditawarkan dalam dua saiz; 11 dan 12.9-inci dan harga bermula dari RM 3,499 dan untuk model 12.9-inci (Wi-Fi & cellular) adalah RM 4,999.00. Jualan iPad adalah secara pra-tempah dan boleh didapati pada 7 November ini.