Tahun lalu, Apple telah memperkenalkan cip pemprosesan mereka yang tersendiri, iaitu M1 dan digunapakai untuk Mac Mini, MacBook Air dan MacBook Pro.
Hari ini, mereka mengumumkan pula pengguna cip terpantas Apple pada iPad Pro baharu. Terdapat dua varian yang ditawarkan, iaitu bersaiz 11 inci dan juga 12.9 inci.
Pada kali ini, iPad Pro sememangnya sesuai dengan nama yang dibawa kerana bukan sahaja cip seperti barisan komputer Apple, tetapi juga hadir dengan Thunderbolt dan USB4, rangkaian 5G dan mampu memancarkan resolusi 6K pada paparan Apple Pro Display XDR.
Berbalik pada tumpuan utamanya – cip M1, ia hadir dengan CPU dan GPU 8-teras. Apple turut mendakwa dimana iPad Pro baharu ini mampu memberikan peningkatan prestasi sehingga 50% (CPU) dan 40% (GPU).
Perbezaan ketara antara varian 11 inci dan 12.9 inci adalah skrinnya. Untuk iPad Pro 12.9 inci, ia dilengkapi paparan Liquid Retina XDR yang mana kecerahan hingga 1000 nits dan maksimum 1600 nits serta sokongan kandungan HDR.
Sementara iPad Pro 11 inci pula, ia masih lagi menggunakan paparan yang sama seperti sebelumnya.
Dari segi storan dan konfigurasi memori, iPad Pro dengan storan 128/256/512GB dipadankan dengan 8GB RAM. Manakala varian 1TB atau 2TB pula 16GB RAM.
Tambahan lagi, kamera hadapannya juga dinaik taraf kepada 12MP ultra lebar. Malah, ia mempunyai Center Stage dimana kameranya dapat meluaskan pandangannya sekiranya pengguna bergerak ke tempat lain atau terdapat individu lain yang turut serta dalam panggilan video.
Harga jualan untuk iPad Pro 11 inci (WiFi) adalah bermula RM3499 dan (WiFi+Selular) bermula RM4149.
Sementara iPad Pro 12.9 inci (WiFi) pula bermula RM4799 dan (WiFi+Selular) RM5499.
Sekiranya berminat, kesemua iPad Pro ini akan tiba buat pasaran tempatan tidak lama lagi.
Sumber: Siaran Akhbar Apple