Perlukan peranti yang mempunyai skrin lebih besar daripada telefon? Inginkan tablet tetapi saiz terlalu besar?
Memperkenalkan iPad mini 2021. Dengan spesifikasi yang menarik, kualiti yang bagus, saiz yang kecil, tiada tablet Android yang setanding dengan peranti ini.
Spesifikasi
- Cipset: A15 Bionic
- Memori: 4GB RAM + 64GB/256GB
- Bateri: 19.3-watt-hour (20W USB-C)
- Skrin: 8.3 inci Liquid Retina, 500 nits, kadar segar semula 60Hz
- Kamera: 12MP (f/1.8) kamera utama, 12MP (f2.4) kamera hadapan ultra lebar
- Sokongan Apple Pencil (generasi ke-2)
Pada tanda harga RM2,299, iPad mini tahun ini menjadi satu-satunya produk dalam kategorinya selain membawakan rekaan baru, lubang pengecasan USB-C, cipset A15 Bionic setanding dengan siri iPhone 13, dan yang paling penting, menyokong Apple Pencil generasi kedua.
Skrin Cantik Tetapi Masih 60Hz
Kita bercerita tentang skrin terlebih dahulu. Apa yang baharu pada skrin iPad mini ini adalah peranti ini tidak lagi menggunakan bezel bersaiz besar, saiz skrin yang lebih besar iaitu 8.3 inci LCD Retina Display dengan kadar segar semula 60Hz.
Disebabkan saiz skrin pada iPad mini ini kecil dan kompak, paparan yang dihasilkan lebih tajam dan warna yang lebih terang berbanding dengan iPad Pro.
Satu masalah yang terdapat pada panel skrin peranti ini ialah akan berlaku sedikit perubahan warna (discoloration) apabila panel skrin ini ditekan dengan kuat, tetapi sepanjang penggunaan seperti skrol media sosial, melukis dan main permainan video memang tiada masalah perubahan warna ini.
Dalam tempoh penggunaan ini juga, saya tidak menghadapi masalah jelly walaupun telah banyak laporan dibuat mengenai masalah ini.
Rekaan rata pada keliling iPad mini ini juga membuatkan peranti ini menyokong penggunaan Apple Pencil generasi kedua. Fitur ini adalah salah satu fitur yang saya puji kerana pengalaman gunanya yang amat mudah.
Penggunaan magnet pengecasan Apple Pencil pada bahagian kanan iPad mini ini membuatkan pensel ini boleh dicas secara wayarles sekaligus menjadi tempat penyimpanan pensel tersebut.
Jika dibandingkan dengan Android memang susah untuk jumpa pengalaman guna yang setanding dengan Apple Pencil ini. Malah, untuk guna dan menyambungkan Stylus pada Mi Pad 5 juga tidak semudah ini.
iPad mini Kini Ada Pengecasan USB-C
Pada mereka yang minat dengan lubang pengecasan USB-C, anda pasti teruja dengan fitur ini kerana iPad mini kali ini dihadirkan dengan lubang pengecasan USB-C. Seperti saya sendiri yang menggunakan peranti Android, penggunaan USB-C ini lebih memudahkan kerana format kabel ini lebih meluas digunakan.
Untuk bateri, iPad mini ini mampu memberikan sekitar 1 hari penggunaan. Seperti saya, saya tidak menggunakan tablet ini setiap masa kerana peranti ini adalah sekadar pengganti kedua saya dan saya perasan bateri akan cepat habis pada hujung minggu kerana saya banyak menghabiskan masa untuk tengok filem menggunakan tablet ini.
Jika ada yang berminat menjadikan iPad mini sebagai peranti untuk main permainan video juga tiada masalah kerana peranti ini menggunakan cipset A15 Bionic seperti yang digunakan pada iPhone 13.
Untuk kedudukan butang aras bunyi iPad mini ini, ia berada pada bahagian atas. Agak pelik pada awalnya tetapi akan biasa setelah mengadaptasi penggunaannya. Apa yang saya ingin tekankan adalah navigasi butang kelantangan tersebut adalah mengikut kepada kedudukan iPad itu sendiri di mana, butang belah atau kanan akan menambah kelantangan bunyi begitu juga sebaliknya.
Berkata tentang kedudukan iPad, gestur quick note juga dapat diakses dengan menarik bahagian bucu bawah kanan pada mana-mana kedudukan tablet ini menggunakan Apple Pencil.
Bagi yang minat untuk multitasking pula, anda pasti minat dengan fitur ini. Fitur bahagi skrin (split screen) pada iPad mini ini sangat mudah, hanya perlu tekan 3 butang pada bahagian atas skrin dan pilih aplikasi lain yang anda hendak buka. Mudah. Anda juga boleh laraskan saiz skrin mengikut kesesuaian anda.
iPad mini ini juga menggunakan Touch ID yang sekali gus berfungsi sebagai butang kuasa. Jadi untuk produk Apple ini, jika ia mempunyai Touch ID, maka ia tiada Face ID, dan begitu juga sebaliknya. Senang kata, hanya iPad Pro sahaja yang menyokong Face ID.
Masalah Pada iPad mini
Kerana saiz tablet ini kecil, ia mempunyai beberapa masalah dari segi fizikalnya. Pertama dari segi papan kekunci. Jika digunakan secara melintang, papan kekunci ini akan mengambil sehingga separuh skrin ini.
Walapun secara alternatifnya saiz papan kekunci ini boleh dilaras dan kerana saiznya yang kecil juga memudahkan anda untuk menegakkan tablet ini untuk mengecilkan paparan papan kekunci ini, tetapi ini adalah antara perkara yang anda perlu tahu.
Selain itu, iPad mini ini juga tidak menyokong penggunaan keyboard fizikal pada case kerana iPad mini ini tidak mempunyai Pogo Pin seperti yang terdapat pada siri iPad yang lain. Oleh itu, iPad mini ini tidak berapa sesuai untuk penaip. Jika anda memerlukan juga papan kekunci fizikal, anda masih lagi boleh menyambungkan papan kekunci menggunakan fungsi bluetooth.
Saya juga dapati bahawa aplikasi YouTube pada iPad mini ini tidak menyokong fungsi picture in picture. Untuk aplikasi Apple TV+ dan Netflix ada fungsi ini tetapi tidak pada YouTube walaupun saya menggunakan YouTube Premium. Saya tidak pasti masalah adalah dari aplikasi atau sistem operasi.
Satu lagi masalah berkaitan dengan YouTube ini adalah tiada fungsi pinch to zoom. Jadi anda tidak boleh untuk hilangkan ruang hitam yang terdapat pada atas dan bawah video yang anda tonton.
Masalah seterusnya yang membuatkan saya rasa terganggu ialah dari segi gestur kembali (back gesture). Disebabkan saya merupakan pengguna Android, cara iPad atau iPhone untuk back agak menyusahkan. Hal ini kerana Apple cuba untuk membezakan back gesture dan home menggunakan gestur yang berlainan.
Bergantung kepada aplikasi juga, ada sesetengah yang membolehkan pengguna untuk swipe to back, dan ada juga yang memerlukan pengguna menekan butang pangkah untuk kembali ke laman sebelumnya.
Terdapat juga beberapa masalah lain mengenai pengoptimuman aplikasi pada iPad mini ini. Yang pertama adalah WhatsApp. Bagi anda yang ingin menjadikan iPad sebagai peranti utama, anda perlu tahu bahawa iPad mini tidak menyokong aplikasi WhatsApp sama ada aplikasi tersebut daripada App Store atau WhatsApp Web di Safari.
Yang kedua pula adalah aplikasi Instagram. Antara muka Instagram ini seperti yang terdapat pada telefon. Walaupun perkara ini telah lama diminta oleh pengguna, tetapi setakat ini, masih tiada naik taraf yang dilakukan.
Kamera swafoto dengan fungsi baharu
Untuk kamera utama, setakat penggunaan tiada masalah. Gambar yang dihasilkan juga agak sederhana kerana bagi saya tiada siapa yang mengambil gambar menggunakan iPad.
Tetapi apa yang ingin saya ketengahkan ialah pada kamera swafoto. Pada iOS 15 ini, iPad mini telah menyokong fungsi Centre Stage dimana kedudukan dan muka pengguna difokuskan. Ini kerana, iPad mini ini menggunakan lensa ultra lebar dan ia akan secara automatik zoom in (satu muka) dan zoom out (banyak muka).
Fungsi ini akan menyokong aplikasi yang menggunakan kamera seperti FaceTime, Google Meet, Zoom, TikTok, Instagram dan beberapa lagi aplikasi lain.
Kalau Guna Telefon Android Bolehkah Guna iPad mini?
Bagi anda yang tertanya-tanya mengenai soalan ini, jawapannya ialah boleh. Tiada masalah jika anda seorang pengguna telefon Android yang ingin menggunakan iPad kerana iPad ini tidak perlu sambungan atau synchronized pada iPhone.
Tidak seperti Apple Watch yang memang memerlukan iPhone untuk beroperasi. Cuma pada penggunaan awal, anda perlu mencipta akaun iCloud seperti anda cipta akaun Google untuk gunakan servis GMS.
iPad mini Untuk Siapa Sebenarnya?
Soalan ini berbalik kepada diri masing-masing. Adakah anda memerlukan iPad untuk penggunaan harian anda?
Sebagai contoh, jika anda seorang yang perlu bergerak sana-sini, perlu catat nota dengan cepat, minat peranti yang kecil dan kompak, iPad mini ini sangat sesuai untuk anda.
Anda perlu ingat bahawa Apple Pencil tidak disertakan sekali dengan pembelian iPad mini. Harga iPad mini ini bermula dengan RM2,299 dan anda perlu menambah sebanyak RM549 untuk Apple Pencil 2nd Gen. Harga keseluruhan adalah RM2,848 dan ini adalah untuk varian yang paling murah.
Jadi, macam mana cara anda hendak gunakan iPad mini ini? Untuk main game atau untuk tonton filem?