iOS 14 Boleh Jadikan iPhone Sebagai Kunci Kereta

Menerusi acara WWDC 2020 awal pagi tadi, Apple turut mengumumkan ciri baru Car Key yang membolehkan kereta dinyahkunci dengan hanya menggunakan iPhone. Sebagai sebahagian daripada sistem terbaru dalam iOS 14, ciri ini berfungsi melalui sokongan NFC.

Kereta pertama yang menerima sokongan ciri baru Car Key adalah BMW 5 Series 2021 yang akan dikeluarkan pada bulan hadapan.

Kapsyen: Gambar hiasan


Menerusi ciri Car Key, iPhone atau Apple Watch boleh dipadankan dengan kenderaan yang mempunyai sokongan Car Key. Setelah itu, hanya perlu mendekatkan peranti Apple dengan pembaca NFC pada kenderaan untuk tujuan nyahkunci.



Pengesahan Face ID atau Touch ID turut diperlukan untuk membuka kenderaan, atau tetapan Express Mode boleh dilakukan untuk melangkau pengesahan biometrik. Akses untuk membuka kunci kenderaan juga boleh dikongsi melalui iMessage. Tidak hanya iOS 14, Apple memaklumkan ciri ini turut menyokong iOS 13.

Walaupun pembuat kereta telah menawarkan kunci digital dengan fungsi yang sama, namun ia tidak dibangunkan secara terbina dalam sistem operasi Apple dan disediakan dalam aplikasi yang berasingan. Dengan ciri ini juga, ia membenarkan pelbagai kunci digital kereta disimpan dalam satu tempat.

Dalam pada itu, Apple turut mendedahkan kunci digital kenderaan berdasarkan teknologi Ultra Wideband yang menggunakan cip U1 sedang dibangunkan. Dengan teknologi ini, pengguna boleh nyahkunci kenderaan tanpa perlu mengeluarkan iPhone dari poket mahupun bag. Ia dijangka akan tersedia pada tahun hadapan.

Sumber: The Verge

Beli iPhone di:

Lazada (https://invol.co/clphhz)