iOS 14.4 Akan Hadir Dengan Ciri Amaran Kamera Tidak Asli Pada iPhone

Bermula iPhone 11, Apple telah menambahkan ciri amaran pada iOS yang akan memberitahu pengguna jika peranti dipasang dengan paparan skrin tidak asli. Setelah itu, Apple turut memuatkan ciri yang sama dengan memaparkan mesej pada pengguna sekiranya mereka menggantikan bateri iPhone ditempat lain atau diganti sendiri oleh penggunanya.

Kini, Apple dilaporkan akan menyertakan ciri amaran kamera tidak asli pada iPhone. Melalui kemas kini iOS 14.4 akan datang, mesej akan dipaparkan sekiranya iPhone menggunakan perkakasan kamera yang bukan asli daripada Apple. Notis amaran yang akan dipaparkan adalah,

“Unable to verify this iPhone has a genuine Apple camera,” 

Sama seperti amaran paparan skrin tidak asli, mesej ini akan dipaparkan di Lock Screen (untuk tempoh singkat) dan pada bahagian Settings > General > About. Akan tetapi, ia mungkin tidak mengganggu fungsi kamera.

Dalam pada itu, masih belum jelas jika notis amaran ini hanya akan dimuatkan pada semua iPhone atau hanya model iPhone 12.

Selain mengelakkan berlakunya penipuan alat ganti perkakasan kamera iPhone, sudah tentu ia juga merupakan sebahagian usaha Apple untuk mengesyorkan pengguna agar membawa iPhone dan peranti Apple mereka yang lain ke Kedai Apple atau Penyedia Perkhidmatan Sah Apple (AASP) untuk mendapatkan baik pulih yang diperakui.

Sumber: 9to5Mac