iOS 13.7 Kini Sedia Dikemaskini - Ini Apa Yang Terbaharu

Walaupun iOS 14 akan diumumkan secara rasmi tidak lama lagi, Apple masih belum selesai lagi dengan kemaskini iOS 13.

Hari ini iOS 13.7 baru sahaja dilepaskan secara rasmi dan ia membawakan satu ciri utama iaitu Exposure Notifications Express.

Sebelum ini, pada iOS 13.5, Apple dan Google telah membangunkan Exposure Notifications API. Ia membenarkan agensi kesihatan setempat untuk membangunkan aplikasi yang memberi amaran jika anda berdekatan dengan pengguna yang positif Covid-19.

Di iOS 13.7, ciri terbaharu Exposure Notifications Express ini membolehkan pengguna tidak perlu memuat turun aplikasi berasingan atau membuatkan agensi kesihatan setempat bertanggungjawab untuk membangunkan aplikasi pengesanan kontak.

Di Amerika Syarikat, Apple telah bekerjasama dengan pelbagai agensi dan badan kesihatan untuk membangunkan sistem ini.

Namun, untuk pengguna Malaysia pula, kita sudah ada sistem pengesanan kontak tempatan MySejahtera yang digunakan secara utama oleh kerajaan.

Selain itu, iOS 13.7 juga membawakan beberapa penambahbaikan lain terutamanya dari segi kelancaran dan baik pulih pepijat dalam sistem perisian iOS.

Untuk memuat turun iOS 13.7, pengguna boleh pergi ke Settings, tekan General, dan kemudiannya Software Update.

 

Berkaitan