Internet Anda Lebih Perlahan Dari Yang Dijanjikan? Cuba Lakukan 5 Langkah Ini Terlebih Dahulu

Sejak sekian lama, kita sering mendengar keluhan pelanggan perkhidmatan internet mengenai kepantasan sambungan mereka.

Antara rungutan paling popular ialah kelajuan internet tidak mencapai apa yang dijanjikan oleh penyedia perkhidmatan.

Jika mengalami masalah ini, kebanyakan kita akan membuat panggilan dan menyalahkan penyedia perkhidmatan internet(ISP).

Sebenarnya, ada beberapa langkah atau semakan yang boleh kita lakukan sebelum terus menuding jari terhadap mereka bagi masalah yang kita hadapi.

Untuk itu, pada penulisan kali ini, kami akan kongsikan 5 langkah yang boleh kita ambil sebelum membuat panggilan kepada ISP.

1. Mematikan dan menghidupkan kembali router/modem  

Pasti ramai yang tidak berpuas hati jika mendengar arahan ini daripada ISP setiap kali membuat laporan mengenai sambungan internet, bukan?



Hakikatnya, ia sememangnya langkah pertama yang patut diambil bagi mengesan sekiranya masalah itu berpunca dari modem/router anda.

Kadang-kala masalah ini boleh selesai hanya dengan menghidupkan semula peranti berkenaan.

2. Semak peranti lain sekiranya mengalami masalah yang sama dengan anda

Peranti seperti telefon pintar dan komputer riba mempunyai cip pemprosesan yang tersendiri. Selain prestasi penggunaan, mereka juga mempengaruhi kepantasan internet peranti.



Peranti dengan cip lebih berkuasa akan dapat menerima isyarat dengan lebih baik, sekaligus memberikan internet yang lebih laju.

Atas alasan ini jugalah peranti keluaran terkini biasanya dilihat akan mempunyai kelajuan internet yang lebih pantas berbanding peranti lama.

3. Tukar router jika perlu

Router juga menjadi salah satu aspek penting bagi memastikan kelajuan internet maksima dapat diberikan.



Sama seperti peranti(telefon pintar, laptop, dsb.), router baharu dapat menawarkan sambungan yang lebih pantas dan stabil berbanding router lama.

Ini kerana, router lama biasanya mempunyai antenna yang lebih lemah sekaligus akan mengurangkan jarak liputan.

4. Ubah kedudukan router

Bercakap mengenai jarak liputan, sekiranya anda menggunakan router terkini dan berkualiti tinggi, namun masih mengalami masalah sama, anda mungkin perlu mengubah kedudukan router.

Ini kerana, semakin jauh jarak peranti dengan router, semakin banyak halangan yang perlu ditempuhi oleh gelombang internet sebelum sampai ke peranti anda. Ia akan menyebabkan gelombang semakin lemah dan sambungan internet semakin perlahan.

Kapsyen: Banggood


Antara langkah yang boleh diambil selain mengubah kedudukan router ialah pasang "wireless repeater" atau alihkan apa-apa yang boleh melemahkan gelombang seperti papan logam dan akuarium. Ya, akuarium kerana air boleh menghalang gelombang internet.

5. Pastikan peranti bebas virus/malware

Virus atau malware adalah antara musuh utama bagi setiap peranti seperti telefon pintar dan komputer riba.

Kapsyen: @digital_bulls


Mereka bukan sahaja akan memperlahankan prestasi peranti, malah juga boleh memberi kesan terhadap kelajuan internet.

Ini kerana ia boleh dijalankan secara latar belakang dan berhubung dengan internet tanpa pengetahuan pengguna.

Sekiranya ia berlaku, anda akan dapati sambungan internet anda menjadi lebih perlahan. Oleh itu, pastikan peranti anda sentiasa dilindungi program antivirus yang boleh dipercayai dan berkualiti.

Harus diingatkan, ini hanya merupakan antara langkah awal yang boleh diambil oleh pengguna sendiri ketika mengalami masalah internet perlahan.

Ia bukanlah jalan penyelesaian mutlak untuk anda dan jika masalah berterusan, langkah terbaik ialah menghubungi pembekal perkhidmatan internet anda.

 

Sumber: Opera blogs   Gizmodo   Tech Guide

Berkaitan