Intel Umum Butiran Mengenai Cip Pemprosesan Grafik 7nm "Ponte Vecchio"

Pada acara Supercomputing 2019 baru-baru ini, Intel mengumumkan seni bina cip pemprosesan grafik yang memfokuskan kepada kecerdasan buatan (AI) dan perkomputeran berprestasi tinggi (HPC). Seni bina cip itu diberi nama "Ponte Vecchio" dan merupakan sebuah cip grafik jenis general-purpose (GPGPU) iaitu jenis cip yang mampu melakukan tugasan luar grafik seperti pemprosesan paralel.



Cip Ponte Vecchio ini akan dibina pada teknologi 7nm dan merupakan cip grafik Intel pertama dengan seni bina Xe yang dioptimasikan untuk HPC dan juga beban kerja AI. Untuk makluman, seni bina Xe akan ditawarkan pada 3 jenis rekaan. LP (Low Power) untuk grafik yang diintegrasikan dengan CPU, HP (High Power) untuk kelas pertengahan, enthusiast, dan bahagian pusat data/AI, dan juga HPC (High Performance Computing) untuk perkomputeran berprestasi tinggi.

Untuk Ponte Vecchio, Intel memanggilnya sebagai cip pertama untuk perkomputeran skala-exa, iaitu perkomputeran yang merujuk kepada sistem yang mampu melakukan pengiraan minimum 1 exaFLOPS, atau 1 quintillion sesaat. Cip grafik Ponte Vecchio ini akan dimuatkan dalam Aurora Supercomputer yang akan membuat kemunculan pertamanya di Argone National Laboratory pada tahun 2021.

Untuk seni bina sistem Aurora tersebut, ia akan mengandungi 2 pemprosesan Xeon Scalable yang dinamakan Sapphire Rapids, 6 unit grafik Ponte Vecchio, berserta 16 unit pengiraan. Sistem tersebut juga akan dilengkapi sehingga lebih dari 200 rak server, 230 petabyte storan dan lebih dari 10 petabyte memori.



Ponte Vecchio akan memanfaatkan teknologi dari integrated circuit (IC) 3D Intel Foveros yang menggunakan EMIB (Embedded Multi-Die Bridge), sambungan Compute Express Link dan lain-lain.

Bersama-sama dengan cip grafik Ponte Vecchio tersebut, Intel turut mengumumkan oneAPI yang merupakan model pengatucaraan yang seragam dan dipermudahkan. oneAPI merupakan pendekatan Intel dalam industri AI dan juga dalam era kepelbagaian pemprosesan hari ini. Penggunaan oneAPI akan ditujukan untuk cip pemprosesan Intel Xeon Scalable, Intel Core dengan grafik terbina, dan juga Intel FGPA, berserta tambahan lain untuk masa akan datang.



Untuk CPU Sapphire Rapids pula, ia dikatakan bakal menggunakan teknologi pembuatan 7nm, sokongan PCI 5.0, 6 saluran memori DDR5 serta akan hadir pada tahun 2021.

Sumber: Intel

Berkaitan