Intel Tiger Lake Gen-11 Siri H, Siri N, Dan vPro Untuk Komputer Riba Diumumkan Secara Rasmi

Pada September 2020, Intel telah mengumumkan CPU Tiger Lake siri-U Gen-11 untuk siri komputer riba nipis dan ringan.

Di CES 2021 kini, mereka menambah lagi portfolio cip komputer riba Gen-11 dengan memperkenalkan cip untuk kategori perusahaan vPro, siri N untuk kelas permulaan atau pembelajaran dan juga siri-H untuk gaming.

Intel Core vPro Gen-11


Intel Core vPro Gen-11 hadir dengan teknologi SuperFin 10nm yang menawarkan prestasi AI 8x lebih berkuasa dan juga 2.3x lebih pantas penyuntingan video berbanding Gen-10.



Terdapa juga Hardware Shield yang merupakan fungsi sekuriti berasaskan komponen bagi menghalang serangan ransomware dan crypto-mining. Tambahan lain, cip ini juga dilengkapi dengan Wi-Fi 6/6E (Gig+) yang mempunyai kelajuan sehingga 6x lebih pantas dari Wi-Fi 5.



Dari segi spesifikasi, Intel Core vPro adalah berasaskan cip Tiger Lake sebelum ini namun dibezakan dengan ciri sekuriti khusus.

Ia hadir dengan pilihan Intel i5 atau i7, kedua-duanya 4 teras dan 8 bebenang. Intel Core vPro i7-1185G7 menawarkan kelajuan sehingga 4.8GHz, manakala Intel Core vPro i5-1135G7 sehingga 4.20GHz. Kedua-duanya tetap hadir dengan 96 EU pemprosesan grafik dari Intel Iris Xe.

Intel Core Evo vPro Gen-11


Penawaran kategori bisnes vPro turut dikembangkan kepada platform Evo melalui Evo vPro. Pada tahun lepas Intel telah memperkenalkan platform Evo ini sebagai piawaian ketat untuk siri ultrabook premium berprestasi tinggi yang mempunyai rekaan nipis/ringan dan juga ketahanan bateri cemerlang.



Tambahan lagi, Intel turut memperkenalkan Evo Chromebook secara tidak langsung mewujudkan kategori Chromebook premium untuk pengguna.

Menurut Intel, lebih dari 60 komputer riba baharu pelbagai jenama akan dilancarkan dengan penjenamaan Evo vPro pada tahun ini juga.

Intel Core Siri H Gen-11 (H35)


Berbeza dengan siri U Tiger Lake untuk ultrabook, siri H pula memfokuskan kepada kategori prestasi tinggi dan gaming.

Terdapat 3 model cip yang diperkenalkan dalam siri ini iaitu:

  • Intel i7-11375H Special Edition

  • Intel i7-11370H

  • Intel i5-11300H


Kesemuanya hadir dengan kuasa TDP asas 28W namun boleh menjadi setinggi 35W jika diperlukan.



Menurut Intel, model cip paling berkuasa Intel i7-11375H Special Edition ini menawarkan prestasi 30% lebih pantas berbanding pesaing AMD Ryzen 4800HS dan 4900H.



Namun bukan 3 model cip ini sahaja yang berada dalam siri H, Intel turut mengacah lebih banyak cip siri H akan diperkenalkan termasuk cip 8 teras dengan kelajuan sehingga 5GHz, GPU khusus, 20 laluan PCIe 4.0, dan Intel Killer Wi-Fi 6E (Gig+).

Intel Core Siri N Gen-11


Untuk kategori pembelajaran atau permulaan, Intel telah memperkenalkan siri N yang baharu.

Intel siri N ini menawarkan cip dari Intel Pentium Silver dan Celeron yang menawarkan keseimbangan untuk prestasi, media, dan juga sesi pembelajaran. Berbanding Gen-10, ia mempunyai prestasi aplikasi sehingga 35% lebih pantas dan grafik sehingga 78% lebih berkuasa.

Sumber: IGN, CRN, Venturebeat

 

 

 

 

Berkaitan