Intel Beli Syarikat Teknologi Kenderaan Pandu Sendiri Dari Israel - Mobileye

Gergasi pengeluar cip, Intel dilaporkan telah melengkapkan pembelian sebuah syarikat berasaskan sensor yang berpengkalan di Israel.

Pembelian yang dianggarkan sekurang-kurangnya bernilai $15.3 bilion itu telah diumumkan pada hari Isnin yang lalu oleh kedua-dua syarikat berkenaan.

Dengan berita pembelian tersebut, saham Mobileye melonjak naik sehingga 33% dalam dagangan pra-pasaran di hari yang sama.

Mobileye merupakan syarikat yang membangunkan kamera, cip sensor, rangkaian dalam kereta, pemetaan jalanraya, perisian awan, pengurusan dan gabungan data.

Diasaskan pada 1999, Mobileye merupakan pembekal bagi sistem penglihatan Tesla, tetapi disebabkan kejadian kemalangan maut yang membabitkan pemandu Tesla Model S hubungan kedua syarikat pun berakhir.

Intel dan Mobileye sudah pun berkolaborasi dengan pengeluar kereta Jerman, BMW, dalam sebuah projek yang membabitkan 40 kenderaan pandu sendiri.

Projek itu dijadualkan berlangsung pada separuh masa kedua tahun ini.

Sumber: Reuters