Intel Bekerjasama Dengan Ferrari, BMW, Nissan, SAIC Motor, Volkswagen, Dan Paramount Pictures

Pada acara CES2018 yang sedang berlangsung, pelbagai teknologi dan pengumuman kerjasama telah dibuat dan salah satu syarikat yang dilihat giat menjalinkan kerjasama adalah Intel.

Dilaporkan gergasi perkomputeran itu bakal mempelopori pelbagai lapangan, dari teknologi kenderaan pandu sendiri sehinggalah kepada filem berasaskan AR dan VR.

Menurut CEO Intel, Brian Krzanich, kerjasama antara pengeluar kereta seperti BMW, Nissan dan Volkswagen akan digunakan untuk mengumpul data dalam membangunkan peta dengan skala definisi tinggi dan kemaskini pantas dengan kos yang rendah.



Sebanyak 2 juta unit kereta dari pengeluar tersebut akan menggunakan teknologi Mobileye-Road Experience Management (REM) bagi tujuan itu. Untuk pengetahuan anda, Intel membeli Mobileye pada Mac tahun lalu.

Bagi pengumpulan data untuk pemetaan di China, Intel akan bekerjasama dengan SAIC Motor dan syarikat pemetaan digital, NavInfo.

Kerjasama dengan Ferrari North America pula akan memperlihatkan penggunaan teknologi AI dari Intel untuk mengumpul data dari trek lumba bagi meningkatkan pengalaman peminat dan pemandu itu sendiri.

Krzanich turut mengumumkan jalinan antara Intel bersama syarikat perfileman ternama, Paramount Pictures, yang mana mereka bakal menembusi pasaran filem berasaskan teknologi VR dan AR. Intel juga sudah berjaya menyiapkan studio berkeluasaan 25,000 kaki persegi berlokasi di Los Angeles dan ia akan digunakan untuk penghasilan rakaman berteknologi AR dan VR.

Dengan kehadiran teknologi VR dalam industri filem, sudah pasti ia memberi pengalaman yang berlainan, ibarat penonton sendiri yang melakonkan watak tersebut.



Sumber: Business Wire