Intel Akan Mula Memasarkan Cip Pemprosesan 10nm ' Ice Lake' Bermula Jun Ini

Cip pemprosesan 7nm pula hanya akan hadir dalam tahun 2021.


Intel dalam pembentangan 2019 Investor Meeting hari ini  menyatakan bahawa cip pemprosesan 10nm 'Ice Lake' yang dijangka akan digunakan dalam pelbagai jenama komputer riba, akhirnya akan dipasarkan kepada para pelanggan mereka bermula Jun ini.

Cip pemprosesan terbaru ini dikatakan akan meningkatkan prestasi grafik sehingga 2 kali ganda berbanding teknologi cip pemprosesan 14nm Intel generasi ke 8 yang digunakan dalam kebanyakkan komputer riba ketika ini.

Malah ia turut dikatakan mampu meningkatkan kelajuan sambungan tanpa wayar sehingga 3 kali ganda berbanding generasi sebelumnya.

Sebenarnya, cip pemprosesan 10nm Intel ini telah lewat dipasarkan beberapa tahun daripada ia dijadualkan berikutan cabaran yang dihadapi oleh Intel sepanjang pembangunan cip tersebut.

Dalam pembentangan tersebut, Ketua Pegawai Kejuruteraan Dan Presiden Kumpulan Teknologi, Senibina Sistem Dan Kumpulan Pelanggan, Dr. Murthy Renduchintala juga turut berkongsikan status cip pemprosesan 7nm.



Menurut beliau, Intel akan mula memasarkan cip pemprosesan yang dibangunakan dengan teknologi 7nm hanya dalam tahun 2021 nanti. Cip tersebut juga merupakan cip pemprosesan komersil pertama Intel yang akan dibangunkan dengan teknologi extreme ultraviolet (EUV) lithography.

P/s: Cip pemprosesan yang dibangunkan oleh Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC) adalah syarikat pertama yang akan membangunkan cip pemprosesan dengan teknologi EUV khusus untuk pelanggan mereka iaitu Huawei dan dan Apple pada tahun ini.