Institusi Kesihatan Singapura Diserang Dalam Sejarah Serangan Siber Paling Buruk Untuk Republik Tersebut

Singapura sebuah negara jiran di selatan Malaysia baru-baru ini telah mengalami serangan siber terbesar dalam sejarahnya. Mengikut laporan media tempatan, sebanyak 1.5 juta data pesakit mereka telah dicuri termasuk Perdana Menteri mereka, Lee Hsien Loong.



Serangan siber yang menyasarkan SingHealth, institusi kesihatan terbesar di Singapura berungkali cuba mendapatkan data kesihatan Perdana Menteri mereka. Antara maklumat yang bocor adalah nombor kad identiti, alamat, jantina, bangsa dan juga tarikh kelahiran. Sebanyak 160,000 preskripsi pesakit juga telah dicuri.

Singapura mempercayai serangan ini dirancang dengan rapi dan ditaja oleh sesebuah negara. Serangan bermula apabila PC stesen kerja pekerja dijangkiti dengan malware, selepas itu akses kepada pengkalan data telah berjaya diperolehi. SingHealth cuba bertindak balas dengan menghalang sebarang akses bagi kesemua 28,000 PC pekerja mereka dan pada masa ini, semua itu sudah terlambat dengan data untuk 1.5 juta orang sudah berjaya dibawa keluar.

SingHealth berkata mereka akan menghubungi pesakit yang terjejas dengan serangan siber tersebut dalam masa beberapa hari.