Instagram Perkenalkan Ciri Baru Khusus Bagi Menangani Masalah Buli Dikalangan Penggunanya

2 Ciri baru ini diharap dapat mengatasi masalah buli di laman sosial Instagram.


Beberapa hari lalu, pembangun aplikasi Instagram telah perkenalkan ciri baru pada aplikasi tersebut khusus bagi menangani isu buli di kalangan pengguna laman sosial mereka.

Ciri baru yang dikuasakan oleh teknologi kecerdasan buatan (AI) ini akan memaklumkan kepada penggunanya apabila mereka cuba menghantar komen yang dikesan mengandungi perkataan tidak menyenangkan sebelum hantaran dibuat.

Notifikasi  ini memberikan penghantarnya peluang untuk berfikir semula atau membatalkan hantaran komen negatif mereka itu sebelum ia dihantar kepada penerima.

Menurut Instagram, pada peringkat awal percubaan ciri tersebut, mereka mendapati ia berjaya menggalakkan sebahagian penggunanya untuk menyunting semula komen negatif sebelum ia dihantar dan seterusnya menukar semula komen tersebut kepada perkataan yang lebih sesuai.

Kapsyen: Kredit: Instagram


Satu lagi ciri baru Instagram bagi berdepan dengan isu buli ini adalah mereka akan perkenalkan ciri yang dipanggil Restrict. Jika sebelum ini, pengguna keberatan untuk menyekat, tidak mengikuti individu atau melaporkan pembuli kerana ia dilihat hanya akan memburukkan lagi keadaan. Terutamanya jika mereka bertemu secara berdepan.

Malah pilihan tindakan yang ditawarkan sebelum ini juga menyukarkan pengguna menjejaki tingkah laku pembuli mereka.

Maka dengan adanya ciri Restrict, pengguna boleh menetapkan sebarang komen yang diterima dari seseorang individu terhadap hantaran yang dibuat mereka, hanya akan dapat dilihat oleh individu itu sahaja.

Kapsyen: Tetapan restrict masih dalam peringkat ujian buat masa ini. Ia hanya akan dimuatkan ke dalam aplikasi Instagram pada kemas kini akan datang. kredit. Instagram


Ciri Restrict ini juga akan menyekat individu itu daripada dapat melihat apabila anda sedang aktif di Instagram atau pada masa bilakah anda telah membaca mesej mereka secara langsung.

"It’s our responsibility to create a safe environment on Instagram. This has been an important priority for us for some time, and we are continuing to invest in better understanding and tackling this problem." Adam Mosseri, Ketua Instagram.