Insta360 kini memperkenalkan Luna Pro, kamera gimbal terbaharunya yang dibangunkan bersama Leica, menggabungkan kemampuan pengimejan tinggi dengan ciri yang memudahkan pencipta kandungan merakam seorang diri atau semasa bergerak.
Luna Pro menggabungkan lensa Leica Summicron dengan sensor 1-inci 8K, selain menyokong rakaman 8K Dolby Vision untuk menghasilkan video dengan perincian, warna dan julat dinamik yang lebih tinggi.

Untuk kandungan pendek, kamera ini menyokong video menegak 4K30fps secara natif. Skrin sentuhnya boleh diputar untuk menukar orientasi sebelum rakaman dimulakan, manakala sokongan rakaman 4K120fps dan 1080p240fps turut disediakan untuk penghasilan video gerak perlahan.

Dari segi penstabilan, Luna Pro menggunakan sistem gimbal 3 paksi bersama ciri berasaskan AI seperti Deep Track dan Rapid Focus bagi membantu mengekalkan subjek bergerak dalam bingkai dan memastikan fokus kekal tajam.
Kamera ini turut dilengkapi skrin sentuh OLED 2-inci yang boleh ditanggalkan, membolehkan pengguna memantau dan menyusun rakaman dari sudut yang berbeza. Kawalan seperti slide-to-start recording dan twist-to-shoot pula memudahkan pengguna memulakan rakaman dengan lebih pantas.

Luna Pro juga hadir dengan sokongan 2x lossless zoom dan 4x HighRes Zoom, memberi lebih fleksibiliti untuk merakam subjek dari jarak yang berbeza.
Dari segi penggunaan, kamera gimbal ini menawarkan sehingga 4 jam hayat bateri dan 47GB storan terbina. Ia boleh disambungkan terus kepada Insta360 Mic Series untuk rakaman audio tanpa wayar.
Sebagai tambahan, pengguna juga boleh memilih profil warna Leica Natural, Leica Vivid dan Leica Chrome, bersama pelbagai filter sinematik. Bagi kerja pascaproduksi, rakaman 10-bit I-Log mengekalkan lebih banyak maklumat warna serta perincian, selain menyokong aliran kerja ACES.
Ciri lain termasuk timecode terbina untuk memudahkan penyelarasan (sync) rakaman, POV Head Tracker serta sokongan NFC bagi sambungan lebih pantas ke aplikasi Insta360. Aplikasi tersebut turut menyediakan alat penyuntingan berasaskan AI untuk mempercepatkan proses menghasilkan kandungan.
Harga dan ketersediaan
Insta360 Luna Pro kini tersedia melalui Insta360 Store dan pengedar terpilih di seluruh dunia.
Di Malaysia, Insta360 Luna Pro dijual pada harga RM2,099 dan ditawarkan dalam warna Cosmic Black serta Stellar White.
{suggest}


