Inovasi Terbaharu OnePlus Perlihatkan Mereka Memilih Untuk Sembunyikan Kamera Bukannya Tingkatkan Kualiti Imej

OnePlus sebelum ini telah mengacah teknologi peranti pintar terbaharu pada acara CES 2020. Jadi, hari ini mereka telah mempertontonkan kepada umum inovasi mereka yang dinamakan Concept One. Sepertimana namanya, ia merupakan sebuah peranti konsep, jadi ia tidak boleh dibeli dan hanya untuk tontonan sahaja.

Kapsyen: Gambar - YouTube/Mrwhosetheboss


Dengan Concept One, OnePlus mempertaruhkan teknologi menyembunyikan lensa kamera belakang menggunakan perkakas yang khas. Jika kamera tidak digunakan, ia akan dihilangkan dan akan muncul semula jika pengguna melancarkan aplikasi kamera.

Bagaimana teknologi ini berfungsi?


Jika anda peminat kereta mewah, mungkin anda pernah melihat teknologi ini digunakan pada sunroof kereta seperti yang terdapat pada jenama McLaren. OnePlus sebelum ini pun sememangnya bekerjasama dengan jenama tersebut melalui OnePlus McLaren Edition. Jadi, tidak pelik jika McLaren membawakan teknologi yang sama kepada peranti OnePlus.

Kapsyen: Penggunaan kaca elektrokromik dalam sunroof kereta McLaren


Berkenaan dengan teknologi yang digunakan, Concept One menggunakan panel kaca khas dipanggil kaca elektrokromik yang menggunakan aliran elektrik untuk 'menghilangkan' kameranya.

Kapsyen: Aliran elektrik mengubah laluan cahaya kaca elektrokromik


Jadi, jika arus elektrik disalurkan, ia membenarkan cahaya untuk melalui kaca tersebut. Sebaliknya jika tiada aliran elektrik, kaca tersebut akan menjadi legap.



Teknologi ini tidak asing digunakan dan tidak eksklusif untuk OnePlus dan juga McLaren. Ada juga jenama yang menggunakan teknologi ini sebagai kaca 'pintar' bilik mandi dan juga banyak terdapat pada pejabat-pejabat kerja.

Berbalik kepada Concept One, ia berfungsi dengan pantas kurang dari 0.7 saat - iaitu tempoh masa yang sama diambil untuk membuka aplikasi kamera.

Mengapa OnePlus mahu hilangkan kameranya?


Walaupun seakan tiada kelebihan dan kelihatan gimik, teknologi ini membolehkan satu fungsi menarik iaitu penuras neutral density (ND) yang popular dalam kamera digital. Dengan penuras ini, lensa boleh mengelak gambar dari terlalu terang (overexpose) kerana ia menghalang sesetengah sinaran cahaya terik seperti matahari dari memasuki lensa.

Untuk fungsi penuras ND tersebut, ia boleh diaktifkan melalui mod Pro dalam kamera. Menurut OnePlus, teknologi ini diibaratkan sebagai 'beauty in the unseen' kerana ia menghilangkan rupa 'buruk' lensa yang terdapat pada belakang peranti.

Kapsyen: Penggunaan penuras ND dalam mod Pro kamera - YouTube/Mrwhosetheboss

Perlukah hilangkan kamera?


Dengan warna oren betik yang biasa dilihat sebelum ini pada Mclaren Edition, Concept One mempunyai kemasan kulit lembut dan juga bingkai saduran emas. Walau bagaimanapun, spesifikasi Concept One tidak didedahkan secara rasmi. Mungkin OnePlus mahu orang ramai fokuskan kepada inovasi mereka, bukannya perkakas dan spesifikasi peranti.



 

Malah butiran mengenai tiga lensa di belakang peranti pun tidak diketahui. OnePlus mengatakan teknologi menghilangkan kamera ini mengambil masa selama 18 bulan untuk disiapkan.

18 bulan bukannya masa yang kejap. Namun untuk teknologi yang seakan gimik ini, nampak macam kurang berbaloi. Saya rasa mungkin pembaca lebih setuju jika OnePlus gunakan masa tersebut untuk meningkatkan kualiti ataupun teknologi pengimejan. Bukankah itu lebih berguna untuk pembeli produk mereka juga?

Sumber: OnePlus