Inilah Steven Pruitt, Sunting Hampir 3 Juta Kali Dan Tulis 35,000 Artikel Di Wikipedia

Mula dilancarkan pada 15 Januari 2001, Wikipedia kini merupakan salah satu daripada lima laman web yang paling banyak dikunjungi pengguna internet dari seluruh dunia, selain Google, YouTube dan Facebook.

Ensiklopedia dalam talian ini sudah mempunyai 5.7 juta artikel dalam Bahasa Inggeris dan jutaan lagi yang diterjemah kedalam bahasa lain.

Semua pengguna internet boleh menulis kandungan untuk Wikipedia, tetapi ada juga penulis berbayar atau ditaja yang perlu mengikut garis panduan untuk mengelakkan kandungan berat sebelah.

Salah seorang yang sanggup berkongsi maklumat secara percuma untuk Wikipedia adalah Steven Pruitt (Ser Amantio di Nicolao). Ibu bapa dan rakan sekerjanya mengganggap beliau melakukan kerja gila kerana menghabiskan sebahagian besar masa lapangnya dengan menyunting serta menulis artikel pada platform berkenaan.

Sehingga kini, Pruitt telah melakukan hampir 3 juta suntingan dan menulis 35,000 artikel didalam Wikipedia. Hasil usahanya itu membuatkan majalah Time menyenaraikan beliau diantara 25 individu berpengaruh di internet 2017 selain Donald Trump, J.K Rowling, dan juga Kim Kardashian.

Setiap hari, Pruitt meluangkan masa lebih dari tiga jam untuk membuat kaji selidik bersumberkan jurnal akademik, buku-buku dan sumber lain disamping menyunting serta menulis artikel di Wikipedia.

Pekerjaan sebenar beliau juga banyak berkaitan dengan penyelidikan iaitu di bahagian rekod dan informasi Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat.

Pengguna internet yang kerap mencari maklumat di Wikipedia seharusnya berasa beruntung kerana dengan adanya penulis  seperti Steven Pruit, maklumat mampu diperoleh dengan pantas dan mudah.


Sumber dan kredit foto: CBS News