Samsung memang terkenal dengan kualiti telefon pintar mereka yang bermutu tinggi. Tetapi bagi memastikan produk mereka berkualiti, Samsung akan menjalankan sebanyak 7 ujian khas terhadap telefon pintar keluaran mereka sebelum ia lulus dipasarkan.
Berikut adalah 7 ujian makmal Samsung yang dijalankan ke atas model-model telefon pintar mereka:-
1. Ujian Kualiti Imej
Samsung memastikan kualiti imej yang terhasil dari kamera yang dimuatkan pada telefon pintar mereka menghasilkan gambar-gambar terbaik.
Untuk itu, ujian kualitatif dan kuantitatif dijalankan ke atas kamera telefon pintar mereka. Ujian kuantitatif mengukur kriteria seperti kadar kecerahan, kejelasan warna dan image noise.
Imej yang diambil itu akan dinilai dengan menggunakan program khas yang mengakses spesifikasi kamera pada telefon tersebut.
Ujian kualitatif pula dibuat di dalam dan juga luar makmal dengan melakukan simulasi perbezaan cahaya gelap dan cerah.
2. Ujian Akustik
Bagi memastikan bunyi yang dihasilkan telefon pintar mereka berkualiti, Samsung menjalankan ujian makmal bunyi pada peranti tersebut dalam 2 kebuk yang berbeza.
Di kebuk yang pertama atau juga dikenali sebagai kebuk anechoic, ia adalah ruang yang direka khas untuk menghilangkan bunyi luar. Jadi bunyi akustik asli dapat dinilai dengan baik.
Sementara kebuk kedua pula digunakan untuk simulasi bunyi telefon pintar dalam 3 tetapan yang berbeza iaitu ketika peranti dipegang dekat dengan telinga, menggunakan pembesar audio atau fon telinga dan menyambungkan dengan set fon kepala menerusi sambungan tanpa wayar Bluetooth.
Hasil ujian akan dianalisa oleh komputer bagi memberikan maklum balas kepada pasukan pembangun peranti tersebut.
3. Ujian Haba
Pasukan pembangun telefon pintar Samsung turut melakukan ujian haba yang dihasilkan oleh peranti dengan menjalankan aplikasi-aplikasi yang memerlukan kuasa pemprosesan tinggi seperti permainan video.
Tahap kepanasan yang dihasilkan peranti itu akan dinilai dengan menggunakan kamera termal. Ujian ini penting di peringkat pembangunan ini bagi menilai pengubahsuaian yang perlu dilakukan terhadap reka bentuk sesebuah peranti.
4. Ujian Jatuh
Ujian menjatuhkan peranti semestinya akan dilakukan kerana hal seperti itu pasti nya akan berlaku pada peranti siapa sekalipun.
Sebab itulah Samsung melakukan ujian menjatuhkan peranti pada telefon pintar mereka.
Dengan menggunakan kamera berkelajuan tinggi, pasukan ujian peranti Samsung akan dapat menganalisa bagaimana sesebuah telefon pintar itu jatuh, sudut peranti yang menerima impak paling kuat apabila terjatuh dan mengetahui punca kepada kerosakan peranti.
5. Ujian Ketahanan
Bagi memastikan telefon pintar mereka mampu bertahan untuk penggunaan seharian dalam apa jua keadaan, Samsung melakukan pelbagai bentuk ujian ketahanan peranti.
Ujian itu pula dilakukan berulang kali seperti ujian menekan butang, bicu audio dan membuka slot kad sim.
Pasukan penyelidik Samsung juga akan melakukan ujian situasi peranti di dalam poket pakaian bagi menilai setakat manakah sesebuah model telefon pintar itu mampu bertahan ketika pengguna sedang duduk.
6. Ujian Kalis Air
Telefon pintar kalis air merupakan antara kelebihan yang memberikan nilai tambah kepada pengguna dalam memilih sesebuah peranti.
Untuk itu, Samsung melakukan ujian kalis air terhadap telefon pintar mereka. Simulasi hujan seperti dengan pancutan jet air dan menenggelamkan peranti ke dalam air adalah antara ujian kalis air yang dilakukan ke atas peranti mereka.
7. Ujian Persekitaran
Memandangkan telefon pintar mereka dipasarkan di seluruh dunia yang miliki persekitaran berbeza, Samsung melakukan ujian intensif bagi memastikan peranti mereka beroperasi pada tahap prestasi terbaik dalam apa jua keadaan.
Ujian mimik kelembapan dan suhu berbeza serta iklim berbeza dilakukan Samsung bagi menguji sama ada peranti-peranti tersebut masih berfungsi di bawah keadaan tersebut.
Pengeluar-pengeluar telefon pintar lain juga pastinya akan melakukan ujian-ujian tersendiri ke atas peranti mereka sebelum sesebuah peranti itu ditawarkan kepada pengguna.
Bukan sekadar bagi menghasilkan sesebuah peranti yang berkualiti dan berprestasi, tetapi yang paling penting adalah menjamin keselamatan pengguna ketika menggunakan produk-produk mereka.
Sumber: Samsung