Ini Teks SMS Pertama Yang Dihantar 28 Tahun Yang Lalu

Siapa masih lagi menggunakan SMS (Short Message Service) untuk berkomunikasi dengan rakan? Majoritinya pasti mengatakan tidak kerana kita sekarang lebih terarah kepada penggunaan mesej yang berasaskan internet seperti WhatsApp, Telegram, iMessage dan banyak lagi.

Mungkin kali terakhir anda menjenguk aplikasi SMS itu apabila menerima teks pesanan dari MKN, mesej Merdeka, ataupun hantaran kod pengesahan transaksi (TAC) dari pihak bank.

Tetapi, pernahkah anda terfikir apakah teks SMS pertama sekali dihantar dan siapakah penghantarnya?

Teks pertama sekali yang dihantar menerusi perkhidmatan SMS adalah "Merry Christmas" dan ia berlaku pada 3 Disember 1992. Sudah 28 tahun ia berlalu dan penghantarnya ialah Neil Papworth.

Kapsyen: Neil Papworth


Ucapan perayaan tersebut dihantar Papworth melalui komputer ke telefon rakannya, Richard Jarvis menerusi rangkaian selular GSM Vodafone di UK. Pada ketika itu, telefon hanya boleh menerima mesej, tetapi tidak mempunyai ciri memasukkan teks.

Kapsyen: Orbitel 901, model telefon yang digunakan oleh Richard Jarvis.


Ini boleh dikatakan sebagai titik tolak bermulanya ciri baru bagi telefon yang sebelum itu hanya terhad kepada komunikasi suara sahaja. Difahamkan, setahun kemudian yakni 1993, telefon GSM daripada Nokia merupakan yang pertama hadir menyokong ciri SMS untuk pengguna.

Pada 1997 pula, pengeluar telefon terkemuka tersebut memperkenalkan Nokia 9000i Communicator, telefon mudah alih pertama yang mempunyai papan kekunci penuh.



Melihat kepada sejarah mengenai SMS, membawa kita kembali ke tahun 1984 iaitu tahun dimana idea ini mula timbul. Matti Makkonen, seorang jurutera asal Finland mencetuskan idea bagi konsep penghantar teks mesej melalui rangkaian selular.

Disebut-sebut sebagai "Bapa SMS", Makkonen sering kali menolak gelaran tersebut. Kredit tersebut diberikan Makkonen kepada Friedhelm Hillebrand dan Bernard Ghillebaert yang membangunkan protokol 160 aksara (saiz maksimum teks pada ketika itu) serta Nokia yang menawarkan telefon dengan keupayaan teks mesej.

 

Sumber: Tech Crunch dan Short Message Service: The Creation of Personal Global Text Messaging